21 Julai, 2014

Timb. Ketua Pemuda GERAKAN Kota Damansara, isteri turut jadi mangsa #MH17

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Pemuda GERAKAN Cawangan Kota Damansara, Liew Yau Chee dan isterinya, Lee Kiah Yeen, adalah antara 283 penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang terhempas di timur Ukraine pada Khamis lalu.

Setiausaha Agung GERAKAN, Liang Teck Meng berkata pasangan suami isteri itu berlepas ke Jerman minggu lepas atas urusan perniagaan dan menaiki pesawat MAS dari Amsterdam untuk pulang ke ibu negara pada Khamis.
"Saya mendapat tahu berita ini melalui akaun Facebook Liew dua hari lepas. Pada mulanya, saya tidak mempercayainya.

"Setelah mendapat pengesahan daripada beberapa rakannya dan anggota parti Gerakan, barulah saya percayai dan menghubungi anggota keluarganya bagi memaklumkan perkara ini," katanya hari ini.

Pasangan itu meninggalkan dua anak lelaki berumur dua dan 10 tahun serta seorang anak perempuan berusia lapan tahun.

Liang berkata Gerakan telah mengunjungi ke rumah Liew di Mutiara Damansara semalam dengan beberapa orang wartawan namun keluarganya enggan ditemu bual.

"Mereka terlalu sedih dan masih tidak dapat menerima berita ini...anak-anak pasangan itu masih kecil dan kini dijaga oleh ibu bapa Liew," katanya.
Menurutnya Presiden GERAKAN, Datuk Mah Siew Keong telah mengarahkan jawatankuasa pusat supaya membantu keluarga Liew terutamanya dari segi sokongan moral dan perundangan.

"Kami juga mengarahkan Biro Perundangan Gerakan untuk mengikuti perkembangan mereka dan menghulurkan bantuan yang perlu," katanya.

Liang, yang juga rakan baik Liew, menyifatkan beliau adalah seorang anggota parti yang aktif dan sangat bertanggungjawab sejak menyertai GERAKAN pada November 2004.

"Beliau juga sangat aktif bersukan terutamanya badminton dan setiap Isnin dan Khamis, kami pasti akan bermain bersama rakan-rakan yang lain," katanya.

- BERNAMA


EmoticonEmoticon