28 Ogos, 2014

Beranikah Pas ketengahkan calon sendiri?

KUALA LUMPUR - Titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya Pas, PKR dan DAP mencadangkan lebih daripada dua nama daripada sebagai calon menteri besar dilihat oleh penganalisis politik membuka peluang untuk Pas membuktikan kemampuan mereka mentadbir.

Bagaimanapun, persoalan yang berbangkit: Beranikah Pas untuk mengemukakan calon daripada parti itu untuk memegang jawatan nombor satu negeri terkaya di negara ini?

Penganalisis politik berpendapat Pas Selangor pimpinan Pesuruhjaya Iskandar Abdul Samad perlu keluar daripada 'bayang-bayang' rakan sekutunya - PKR dan DAP - selepas berdolak-dalik dalam penerimaan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar.

Dekan Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Ahmad Tarmizi Talib berkata Pas kurang cerdik jika terus bersikap 'mengikut' hanya disebabkan 'gentleman agreement' antara parti yang menyerahkan kerusi menteri besar kepada PKR.

"Jumlah kerusi Pas dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor juga lebih banyak daripada PKR, jadi mengapa masih tetap enggan menggalas tanggungjawab yang diberikan rakyat dalam pilihan raya umum lalu?

"Jika (keenganan menjadi menteri besar) disebabkan oleh gentleman agreement, Pas perlu berfikir sama ada mahu meneruskan perjanjian itu kerana Langkah Kajang untuk menyingkirkan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak dipersetujui Pas" katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dun Selangor kini terdiri daripada 15 wakil Pas, 15 DAP, 13 PKR, 12 Barisan Nasional (BN) dan 1 Bebas.

Ahmad Tarmizi menambah kata beliau tidak melihat Pas sebagai mungkir janji -jika mencalonkan wakil rakyatnya kerana Pas hanya melaksanakan titah Sultan yang mahu beberapa calon dikemukakan untuk baginda memilih calon berkelayakan bagi menerajui pentadbiran negeri.

Ditanya bagaimana Pas dapat memastikan calon yang dikemukakannya mendapat sokongan majoriti sidang tanpa sokongan PKR dan DAP?, Ahmad Tarmizi berkata: "Politik kini turut melihat golongan minoriti menentukan masa depan majoriti. Itu yang berlaku. Dalam politik apa sahaja boleh berlaku. Kawan boleh menjadi lawan dan sebaliknya," katanya.

Pendapat sama disuarakan Pensyarah Geo-Politik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali dengan berkata Pas perlu berani ke hadapan supaya dapat membuktikan mereka adalah parti yang dinamik dan berkebolehan, bukan sekadar arif dalam urusan agama.

"Setakat ini rekod panjang Pas hanya sebagai menteri besar di Kelantan, negeri yang 90 peratus adalah orang Melayu. Mengapa tidak ambil peluang untuk tunjukkan mereka juga boleh tadbir negeri pelbagai bangsa, negeri yang menjadi pusat tumpuan negara?," soalnya.

Mohd Fuad menambah kata beliau tidak hairan jika 'kedegilan' PKR dan DAP yang bertegas dengan Dr Wan Azizah akan menyebabkan Sultan Selangor memilih menteri besar daripada Pas, jika parti itu berani 'menentang arus yang ditetapkan rakan sekutu'.

"Pas tidak perlu bimbang jika tindakan itu menyebabkan PKR dan DAP marah, kerana menjadi adat politik ada yang akan membenci. Namun apa yang penting adalah mereka (Pas) berlaku adil kepada rakyat yang mengundi mereka," katanya.

Mohd Fuad juga mempersoalkan tindakan PKR yang kekal mahu menamakan isteri kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sebagai calon menteri besar, yang seolah-olah menunjukkan tidak ada calon lain yang berwibawa untuk memegang jawatan itu.

Ini bertentangan dengan dakwaan parti itu yang sering kali melaung-laungkan bahawa keanggotaan parti mereka adalah terdiri daripada golongan profesional, berkebolehan dan bijak pandai, tambahnya.

"Mereka kata berlambak (golongan profesional) jadi inilah medan untuk PKR membuktikan apa yang dikatakan sebelum ini," tegas Mohd Fuad.

Beliau juga berpendapat PKR sebagai parti yang demokratik dan berpegang kepada integriti, seharusnya akur kepada titah Sultan Sharafuddin Idris Shah, jika mereka mahu krisis yang bermula dengan Langkah Kajang sejak awal tahun lalu tamat.

Berhubung kenyataan bersama PKR dan DAP bahawa pencalonan tunggal Dr Wan Azizah adalah sama seperti konvensyen yang diamalkan pada tahun 2013 dengan menamakan Abdul Khalid sebagai calon tunggal menteri besar kepada Sultan, Mohd Fuad berkata perkara itu tidak boleh dijadikan sebagai penanda aras.

"Pencalonan tunggal Abdul Khalid berlaku semasa tiada krisis menteri besar. Malah semasa itu, Sultan boleh melihat rekod prestasi Abdul Khalid kerana beliau telah memegang jawatan itu lebih sepenggal bermula 2008.

"Mereka kena ingat kepimpinan Abdul Khalid menyumbang kepada kemenangan pakatan rakyat pada pilihan raya umum lalu dan apa pula rekod Dr Wan Azizah yang dapat menunjukkan beliau lebih baik dari Abdul Khalid?," soalnya.

Abdul Khalid berhasrat meletak jawatan tetapi Sultan Selangor menangguhkan penerimaan peletakan jawatan itu sehingga pengganti menteri besar ditentukan.

Abdul Khalid berbuat demikian setelah dilaporkan tidak lagi mendapat sokongan majoriti anggota Dun Selangor selepas beliau dipecat daripada PKR. - Bernama


EmoticonEmoticon