10 Ogos, 2014

Isteri ahli kumpulan tabligh tagih nafkah suami

Suami saya meminati kerja dakwah dan saya menyokong hasratnya. Cuma saya kurang selesa apabila dia perlu meninggalkan saya berbulan-bulan untuk menjadi tabligh.

Namun dia tidak menyempurnakan keperluan saya dengan anak, termasuk belanja dapur serta bil berkaitan. Gaji saya cuma memadai untuk belanja sekolah anak serta saya.

Saya pernah suarakan tetapi suami menyifatkan saya menghalang dia melakukan kerja Allah. Saya bukan marah, cuma tidak mahu hak saya serta anak terabai. Saya bimbang suami gagal menilai keutamaannya.

Salahkah saya menegur suami melakukan kerja yang disifatkan jihad di jalan Allah, sedangkan saya dan anak rasa terabai apabila dia gagal memberi nafkah serta menguruskan bahagian rumah tangga yang sememangnya tanggungjawabnya.

MOON
Tanah Merah, Kelantan

Mana satu lebih utama, keluarga atau kumpulan tabligh? Itulah persoalan yang perlu dijawab suami terlebih dulu sebelum dia menuduh puan menghalang kerja dakwahnya.

Dang Setia menyifatkan kegagalan suami puan melihat tanggungjawab terpenting perlu dipenuhi membuktikan suami dangkal dalam ilmu berkenaan.

Seharusnya suami merujuk kepada ulama atau orang yang jauh lebih tinggi ilmunya dalam agama sebelum membuat keputusan meninggalkan puan serta anak terumbang-ambing. Tidak salah berdakwah, cuma sediakan keperluan isteri serta anak secukupnya.

Sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Baqarah: “Para ibu hendaklah menyusukan anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang ma‘ruf. „

Jelas suami perlu sempurnakan tanggungjawabnya terhadap keluarga dalam menyempurnakan tanggungjawab agama. Justeru, nasihatilah suami sebaik-baiknya supaya dia memahami perkara yang dia terlepas pandang.



Dang Setia

 


EmoticonEmoticon