31 Ogos, 2014

Jangan layan kritikan MP PAS tak berasas itu - Anwar

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa MP Temerloh, Nasrudin Hassan agar berhenti menyindir orang dan menyinggung orang lain - sepadan dengan imej keagamaan yang didokong Nasrudin.

Beliau berkata demikian selepas pada mulanya enggan mengulas serangan dan kritikan halus Nasrudin terhadapnya yang diajukan menerusi laman Facebook Nasrudin.

"Sebagai seorang yang mempamerkan (imej) tokoh agama maka haruslah komennya berlandaskan etika, dan akhlak dan tidak dengan maksud untuk menyindir, menyinggung dan menghina sesiapa," katanya memetik rakaman video KiniTV.

Beliau ditemui selepas satu program dialog bersama lelaki muda di Puchong, petang semalam.

Anwar sebelum itu enggan mengulas komen-komen Nasrudin.

Menurutnya, Nasrudin (kanan) tidak pernah membangkitkan sebarang perkara sewaktu berdepan dengannya dalam mana-mana pertemuan sebelum ini.

"Saya tak nak komen sangat (tentang) Nasrudin (ini).

"Dia pun tak pernah bawa dalam perbincangan, ikut dia saja.

"Saya fikir tak perlu saya jawab. Saya ingat ada suara-suara yang sengaja timbulkan agenda ketegangan antara parti.

"Oleh yang demikian saya tidak harus layan," katanya.

MP: 'Luar biasa' mahu isteri sendiri


Nasrudin sejak beberapa hari lalu menerusi laman Facebooknya mengkritik Anwar yang mahukan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga isterinya, untuk menjadi menteri besar Selangor yang baru.

Nasrudin membuat perbandingan dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat yang dihimpit kontroversi nepotisme pada tahun 2009 apabila menantunya menjadi ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat milik kerajaan negeri sewaktu beliau masih lagi menjadi menteri besar Kelantan.

Menurut Nasrudin lagi, debat di kalangan tokoh agama tentang keupayaan perempuan menjadi pemimpin adalah satu perkara "biasa".

Namun, "sesetengah pihak" yang bertegas mahukan isterinya sendiri menjadi menteri besar adalah "luar biasa", kata Nasrudin.


EmoticonEmoticon