08 Ogos, 2014

Kejutan MAS, gantung urus niaga untuk satu pengumuman penting

KUALA LUMPUR: Penerbangan Malaysia (MAS) hari ini menggantung urus niaga sahamnya di Bursa Malaysia kerana akan membuat satu pengumuman.

MAS dalam kenyataannya tidak mengulas lanjut tetapi sumber sebelum ini memaklumkan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) yang menguasai 69 peratus kepentingan ekuiti merancang mengeluarkan syarikat penerbangan nasional itu daripada senaraian awam dan menjadikannya entiti persendirian.

Mengeluarkan status senaraian awam MAS adalah sebahagian langkah penyusunan semula besar-besaran syarikat penerbangan itu yang sudah kerugian sejak tiga tahun berturut-turut.

Selain masalah kewangan, MAS berhadapan pelbagai kontroversi termasuk pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac dan pada 17 Julai lalu pesawat MH17 yang dalam perjalanan dari Belanda ke Kuala Lumpur, ditembak jatuh di Ukraine menyebabkan semua 298 penumpang dan krew terkorban.

Insiden berkenaan dipercayai menjadi punca Khazanah mempercepatkan proses penyusunan semula syarikat itu walaupun bulan lalu cabang pelaburan kerajaan itu mengumumkan akan membuat pengumuman mengenainya dalam tempoh enam hingga 12 bulan lagi.

Sumber berkata, selepas dikeluarkan daripada senaraian awam, Khazanah mungkin menjual operasi MAS yang masih menguntungkan termasuk bahagian kejuruteraan, khidmat di lapangan terbang, anak syarikat penerbangan tambang rendah, mengecilkan tenaga kerja dan membawa masuk barisan pengurusan baru.

Khazanah dijangka membeli semua baki saham tidak dimilikinya dalam MAS pada premium daripada penutupan semalam 24 sen sesaham.-Reuters


EmoticonEmoticon