08 Ogos, 2014

Majlis Syura PAS tak cukup fakta, tak kenal Khalid - DSAI

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan Majlis Syura PAS yang mahu mengekalkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah kerana kurangnya fakta sebenar berkaitan menteri besar Selangor itu.

Anwar turut menggesa ahli dan kepimpinan parti patuh kepada keputusan parti yang mahu melantik Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor.

"Saya fikir ada isu yang kita perlu perjelaskan kepada mereka (Majlis Syura) yang mereka tidak ketahui sebelum ini.

"Khalid bukan saja seorang pemimpin PKR dan menteri besar tetapi juga seorang rakan. Saya tidak mahu memanjangkan isu ini luar daripada etika," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, hari ini.

Majlis Syura PAS kelmarin berkeras mahu mengekalkan Khalid sebagai menteri besar kerana badan tertinggi dalam PAS itu berpendapat tiada apa-apa kesalahan yang dilakukan Adun Pelabuhan Klang itu.

Dalam satu kenyataan yang ditandatangani Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan timbalannya Datuk Dr Haron Din, mereka berkata: "Selagi tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah yang mewajarkan menteri besar itu digugurkan, Majlis Syura Ulama PAS memutuskan mengekalkan Khalid sebagai MB Selangor.

"Jika ada pertuduhan yang disabitkan bersalah kemudiannya oleh pihak berautoriti seperti SPRM atau mahkamah maka Majlis Syura Ulama bersedia menilai kembali kedudukan beliau.”

Ketika ditanya mengenai keengganan peletakan jawatan Khalid sama seperti yang dilakukannya pada 1998, Anwar berkata isu Langkah Kajang bukan sesuatu yang baru dan lernah dibincangkan sejak 15 Januari lalu.

Katanya, walaupun Khalid tidak memberi sokongan kepada Langkah Kajang namun beliau adalah pengarah piliham raya kecil Kajang tempoh hari.

"Banyak pertemuan di antara pemimpin PR dan Khalid. Saya tidak rasa sesuai menyamakan peralihan 1998 dengan isu yang dibangkitkan sekarang.

"Saya dapat menjelaskan proses peralihan MB melalui pelbagai mesyuarat, rundingan dan nasihat sejak enam bukan lalu," katanya.

Anwar berkata isu MB Selangor akan dibincangkan esok oleh Majlis Pimpinan Pusat namun tidak pasti sama ada satu keputusan akan diberikan kepada Khalid.

Beliau turut menolak dakwaan Adun Selangor dari PKR hari ini diminta menandatangani Akuan Bersumpah menyatakan sokongan kepada Wan Azizah kerana ia sekadar cadangan dan akan dipertimbangkan jika bersesuaian. – 8 Ogos, 2014.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/majlis-syura-pas-kurang-maklumat-tentang-khalid-kata-anwar#sthash.fEo7aliF.dpuf


EmoticonEmoticon