10 Ogos, 2014

Pas tiada kena mengena dengan pemecatan Khalid - Nik Aziz

Pemecatan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak ada kaitan dengan PAS, kata Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Itu dia (PKR) punya pasal, saya tidak boleh ganggu," katanya ketika diminta mengulas pemecatan Khalid daripada parti itu hari ini.

"PKR boleh buang orangnya, kita tidak campur," katanya lagi kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Kota Baharu malam ini.

Nik Abdul Aziz juga berkata Majlis Syura Ulama PAS tidak berganjak dengan keputusannya untuk mengekalkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

"Tidak terima (keputusan Majlis Syura Ulama PAS) itu dia punya pasal," katanya ketika ditanya mengenai kenyataan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa keputusan Majlis Syura Ulama PAS untuk mengekalkan Khalid sebagai menteri besar (MB) Selangor tidak mempengaruhi PKR dalam isu itu.

Sementara itu di Shah Alam, Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Abdul Samad berkata tindakan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR memecat Khalid daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta sudah dijangka.

Katanya, beliau kini hanya menunggu arahan daripada parti mengenai tindakan selanjutnya.

"Saya menjangka Khalid akan dipecat apabila PAS Pusat menangguhkan tarikh mesyuarat mereka. Saya sekarang hanya menunggu arahan dari parti saya," katanya ringkas ketika dihubungi.

Ketika mengumumkan keputusan MPP itu di Petaling Jaya hari ini, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datuk Dr Tan Kee Kwong berkata keputusan sebulat suara MPP itu dibuat berdasarkan tindakan Khalid mengingkari arahan parti untuk meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menjadi menteri besar Selangor yang baharu.

Dr Tan berkata selain itu, Khalid yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang juga ingkar beberapa keputusan yang dibuat Majlis Presiden Pakatan Rakyat, termasuklah menangguhkan proses dan perbincangan projek Langat 2 serta kenaikan elaun Speaker Dewan Undangan Negeri, Menteri Besar, Exco dan Adun Selangor.

Sementara itu, Naib Pengerusi DAP Selangor Datuk Teng Chang Khim ketika dihubungi bagaimanapun enggan memberi sebarang komen. – Bernama, 9 Ogos, 2014.


EmoticonEmoticon