28 Ogos, 2014

Pemuda PAS kipas punggung PKR, calon Nik Nazmi sbg MB

SHAH ALAM – Ketika Pas dilihat masih berteka-teki sama ada akan meletakkan calonnya untuk jawatan Menteri Besar Selangor, Pemuda Pas mencadangkan nama Timbalan Speaker Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad dipersembahkan kepada istana.

Ketua Pemudanya, Suhaizan Kaiat berpendapat, Nik Nazmi yang juga Ketua AMK adalah calon yang sesuai bagi jawatan tersebut kerana beliau merupakan seorang calon yang muda dan mampu memimpin dengan baik.

“Beliau adalah tokoh muda yang mempunyai daya kepimpinan yang menarik dan mampu menarik sokongan anak muda Malaysia.

“Beliau pernah menjadi Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor dan mempunyai pendedahan pentadbiran negeri yang baik,” katanya.

Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menangguhkan permohonan peletakan jawatan Abdul Khalid sehingga penggantinya ditentukan.

Sultan Selangor turut menitahkan PR untuk menamakan lebih daripada dua nama sebagai calon jawatan berkenaan.

PKR dan DAP dalam satu kenyataan malam tadi kekal dengan keputusan untuk menamakan hanya satu nama iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pas pula setakat ini belum menyatakan pendirian rasmi berhubung nama calon yang difikirkan layak untuk parti itu.


EmoticonEmoticon