08 Ogos, 2014

Pesta bogel di Teluk Bahang akan diadakan sekali lagi Disember ini

Balik Pulau: Taman Negara Pulau Pinang (TNPP) masih menjalankan siasatan dalaman berhubung penganjuran acara ‘Sukan Bogel Pulau Pinang 2014’ yang diadakan di Pantai Teluk Kampi dekat Teluk Bahang, pada 31 Mei lalu.

Ia membabitkan siasatan terhadap kakitangan TNPP yang bertugas di pos kawalan Teluk Kampi pada hari pesta itu berlangsung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah berkata, kakitangan berkenaan sudah dipanggil bagi menjelaskan perkara sebenar.

Shah Headan Ayoob yang juga Ahli Mesyuarat TNPP berkata, siasatan awal mendapati kemungkinan wujud unsur ugutan daripada penganjur acara berkenaan terhadap kakitangan terbabit pada hari berkenaan.

“Kakitangan terbabit didapati sudah beberapa kali menasihatkan dan menegah peserta acara berkenaan daripada melakukan aktiviti itu, namun tidak dihiraukan mereka.

“Kakitangan yang bertugas di pos kawalan tidak mempunyai bidang kuasa mengambil tindakan terhadap pengunjung kecuali memberikan nasihat dan teguran kepada mereka jika melakukan kesalahan,” katanya pada sidang media, semalam.

Rakaman video yang mencetuskan kontroversi serta mendapat kecaman pelbagai pihak itu dimuat naik di laman sosial menerusi tiga durasi berbeza dan memaparkan aksi kumpulan lelaki dan wanita seramai 15 orang yang melakukan aktiviti sukaneka dalam keadaan berbogel di kawasan pantai serta menggelar diri sebagai ‘Nudism’.

Mereka dipercayai berkunjung ke pantai itu bagi memeriahkan program ‘Malaysia-International Nude Sports Games 2014 Extravaganza’ yang didakwa akan diadakan sekali lagi di Pulau Pinang pada Disember ini.

Shah Headan Ayoob berkata, kekangan liputan telekomunikasi di Pantai Teluk Kampi itu mungkin menjadi faktor kakitangan terbabit tidak dapat memaklumkan kejadian berkenaan kepada pihak atasan.


EmoticonEmoticon