08 Ogos, 2014

Protes Gaza, McD bimbang keselamatan pekerja

Restoran McDonald di Malaysia mengambil langkah-langkah berjaga-jaga untuk melindungi pekerjanya, berikutan kempen dalam talian untuk memboikot rangkaian makanan segera Amerika itu esok.

Tindakan boikot itu dianjurkan oleh penyokong Palestin, yang menuduh McDonald menyalurkan dana kepada Israel, dalam konflik yang sedang berlaku di Gaza sekarang.

Antaranya, pekerja penghantarannya, dinasihatkan supaya tidak memakai pakaian seragam mereka esok, supaya tidak dikenali sebagai pekerja McDonald.

"Kami telah diminta oleh pihak pengurusan atasan untuk memakai baju-T putih dan seluar berwarna gelap esok," Rahman Masturi (kanan) dari cawangan Jalan Telawi, memberitahu Malaysiakini hari ini.

Penunggang juga diarahkan supaya membuang semua logo di beg 'Cooktek' McDonald kenderaan penghantaran mereka.

McDonald juga akan mengambil langkah-langkah lain di restoran mereka jika sekiranya peserta protes menjadi ganas.

"Jika mereka mahu mengadakan perhimpunan atau protes di hadapan premis itu, kami okay selagi mereka tidak melakukan sebarang kerosakan kepada premis kami atau kakitangan kami," kata seorang pengurus cawangan yang mahu dikenali hanya sebagai Siti.

Menurutnya, pengurus cawangan juga telah diarahkan supaya menutup cawangan mereka jika keadaan menjadi ganas dan membuat laporan polis dengan segera.

Pekerja McDonald juga melahirkan kekecewaan mereka kerana dituduh menyokong Israel sedangkan mereka hanya makan gaji.

"Saya telah berkhidmat dengan syarikat itu selama lebih empat tahun, saya cukup yakin kita tidak mempunyai hubungan langsung dengan pembiayaan tentera di Israel," kata Siti, sambil menjelaskan hanya peratusan kecil keuntungan mereka pergi kepada syarikat francaisor yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Kakitangan penghantaran pula berkata, mereka menjadi sasaran kritikan ketika menjalankan tugas mereka.


EmoticonEmoticon