28 Ogos, 2014

'Romen' dalam bilik air

Satu Operasi Bersepadu Membanteras Aktiviti Haram telah diadakan di Kuala Lumpur tengah malam tadi di sekitar kawasan ibu negara bagi membanteras kegiatan tidak bermoral.

Operasi hari ini melibatkan enam agensi dengan diketuai oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan dibantu oleh Majli Keselamatan Negara (MKN), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Baki agensi ialah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI), RELA, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan; Datuk Seri Adnan Md Ikhsan jumlah kekuatan anggota yang terlibat dalam operasi berkenaan berjumlah hampir 1,000 orang dengan serbuan disasarkan kepada enam kawasan Parlimen di ibu negara.

Beliau berkata kawasan yang menjadi tumpuan ialah Wangsa Maju, Setiawangsa, Titiwangsa, Bandar Tun Razak, Seputeh dan Lembah Pantai.

“Tumpuan diberikan pertamanya kepada masalah kafe siber yang masih berlarutan, ia belum lagi reda. Operasi melibatkan 177 kafe siber yang telah dikenalpasti sebelum ini.

“Jumlah keseluruhan kafe siber hampir 300 dan 127 buah untuk premis urut yang dijalankan serentak,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika meninjau operasi di sekitar kawasan Taman Danau Desa.

Operasi bermula pada kira-kira pukul 9 malam dan dijadualkan berakhir pada pukul 7 pagi tadi.

Dalam operasi berkenaan di kawasan sama, satu premis urut yang diserbu dilihat turut digunakan sebagai tempat pelacuran kerana pihak berkuasa menemui sebuah bilik air dilengkapi tilam dan televisyen LCD.

Pihak berkuasa terpaksa menggunakan alat pemotong kunci untuk membuka pintu premis urut yang dikunci bagi mengelakkan kehadiran pihak berkuasa.

Bilik air berkenaan yang bersaiz kecil turut dilengkapi dengan cermin di kedua-dua sisinya dipercayai digunakan untuk perkhidmatan mandi buih diberikan kepada pelanggan.

Sebuah premis urut kaki lagi turut diberikan peringatan oleh JAWI apabila premis itu yang dilihat mirip premis milik bangsa Cina tetapi menggunakan jam dinding dengan tulisan kalimah Allah dan Nabi Muhammad SAW.

Apabila diperiksa, di belakang premis berkenaan turut diletakkan Tokong cina yang besar.

Ketika pihak berkuasa berada di dalam premis, seorang wanita bertudung tiba dan mendakwa dirinya pemilik bersama premis berkenaan dengan seorang lelaki berbangsa Cina.

Wanita itu mendakwa tokong berkenaan diletakkan untuk memudahkan pekerjanya yang kebanyakannya berbangsa Cina. – MYNEWSHUB.MY


EmoticonEmoticon