08 Ogos, 2014

Watak pelacur idaman saya - Risteena Munim

Heroin drama bersiri Playboy Itu Suami Aku, Risteena Munim secara terbuka memberitahu bahawa dia teruja dan tak sabar untuk melakonkan watak aksi seorang pelacur dalam filem yang akan menjalani penggambarannya di Chicago, Amerika tahun depan.

Baginya watak sebagai seorang pelacur mempunyai kekuatan dan cabarannya yang tersendiri berbanding watak-watak yang dilakonkannya sebelum ini.

“Watak sebagai seorang pelacur menjadi idaman kerana watak sebegitu belum pernah saya lakonkan. Impian tersebut bakal direalisasikan menerusi sebuah filem terbitan Zeel Production dan akan memulakan penggambaran sekitar tahun hadapan di Chicago, Amerika. Filem tersebut ala-ala Devdas,“ katanya sambil tersenyum.

Risteena turut memberitahu bahawa keputusannya untuk menerima pelawaan daripada produksi tersebut hanyalah untuk mempelbagaikan wataknya dalam lakonan ini, dan keluarganya tidak ada masalah mengenai wataknya ini dan hanyalah perlu menjaga batasan-batasan yang tertentu.

“Saya mahu pelbagaikan watak yang diberi dan tidak mahu terikat pada satu watak dan secara langsungnya saya memang tidak memilih watak. Setakat ini keluarga tidak menghalang dan tiada masalah mengenai watak yang ini dan ada batas tertentu yang perlu saya jaga,“ ujarnya.

Sementara itu, Risteena bakal muncul dengan drama bersiri terbaru lakonannya di slot aksi TV3 pada 19 Ogos ini berjudul Plan B.

Dalam drama tersebut terdapat kelainan yang dapat kita lihat menerusi lakonannya kali ini dan dia turut menceritakan bahawa sebenarnya dia terpaksa memotong rambut untuk merealisasikan wataknya yang agak mencabar dan penuh dendam dalam drama kali ini. Tetapi setelah melalui proses perundingan akhirnya dia hanya memakai rambut palsu sahaja.

“Drama Plan B ini agak berbeza dengan drama-drama yang pernah saya lakonkan sebelum ini kerana ianya sangat mencabar dan penuh aksi. Drama ini juga menuntut pengorbanan daripada saya sebagai pelakon untuk memotong rambut bagi menjayakan watak ‘Iris‘, Tetapi setelah perbincangan dilakukan akhirnya saya diberi pelepasan untuk memakai rambut palsu sahaja”

Tambahnya lagi, dia sanggup mengorbankan rambutnya itu sekiranya diperlukan juga untuk berbuat demikian dan turut mengakui bahawa apabila berambut pendek agak sukar dan terbatas untuknya menerima tawaran lakonan daripada mana-mana produksi tempatan.

“Sekiranya dikehendaki juga untuk saya memotong rambut saya akan lakukannya walaupun tahu selepas ini akan berdepan risiko watak yang agak terhad,“ katanya ringkas. (rtky/hfz)


EmoticonEmoticon