01 Ogos, 2014

Whatsapp bocor bukan pendirian saya, tapi ahli Pas sendiri - Zuhdi

SHAH ALAM: Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki menjelaskan ayat yang digunakan beliau dalam mesej Whatsapp yang dibocorkan, kelmarin tidak menggambarkan pendiriannya.

Menurutnya, ini kerana beliau tidak berada dalam senarai yang menyokong Pas keluar daripada PR.

"Saya cuma memaparkan senario perasaan lega segelintir ahli yang selama ini menganggap Pas seperti dikuasai oleh DAP sehingga tidak lagi bersuara seperti dulu.

"Mereka yang ada dalam perbincangan itu akan faham unsur imaginatif dan sindiran tersebut," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Mohd Zuhdi, perbincangan tentang usul keluar PR itu dibuat secara jenaka, provokasi, sindiran dan tegang.

Beliau berkata, terdapat ahli Pas dalam perbincangan yang menyebut bahawa segelintir ahli Pas akan lega apabila Pas keluar PR kerana mereka begitu marah dengan DAP terutama dalam isu nama ALLAH, serbuan gereja dan lain-lain.

"Meskipun Pas telah ambil tindakan disiplin kepada beberapa orang ahli seperti ini, tetapi masih ada ahli Pas yang bersikap marah kepada DAP dan lain-lain pihak berkaitan.

"Apabila saya buat analisis senario apa berlaku kalau Pas keluar PR, maka saya sebut tentang kemungkinan yang boleh berlaku di Selangor.

"Pada perenggan kedua saya sebut secara imaginatif dan berbentuk sindiran perkataan yang akan dihamburkan oleh ahli Pas yang selama ini memendam kemarahan kepada DAP dan lain-lain berkaitan isu nama ALLAH dan seumpamanya," jelas beliau.

- Sinar Harian


EmoticonEmoticon