13 November, 2014

'Budak-budak' Syria ajar Harimau Malaya main bola sepak

SHAH ALAM: Skuad Harimau Malaya seperti hilang arah dan mudah tunduk kepada Syria 3-0 dalam siri persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, malam ini.

Dollah Salleh mungkin belum perlu menekan butang kecemasan lagi ketika cabaran Piala AFF Suzuki bakal bermula dalam tempoh 10 hari lagi tetapi persembahan tahap rendah disajikan anak didiknya jelas memberi gambaran menakutkan.

Atas padang licin, kelebihan seharusnya milik tuan rumah tetapi sebaliknya lawan dari padang pasir itu pula bertindak lebih kemas - seolah-olah seperti beraksi di gelanggang sendiri.

Syria yang berada dalam ranking ke-151 dunia mengesahkan kemenangan menerusi jaringan Nadim Sabag pada minit ketiga, kapten pasukan, Sanharib Malki (minit ke-47) dan Omar Khrbin (m-66).

Keputusan hambar ini harus membuat ketua jurulatih, Dollah pening memikirkan apa yang harus dilakukan dalam tempoh singkat ini ketika digamit misi Piala AFF di Singapura nanti.

Berbekal barisan pemain yang gagal bertindak sebagai satu unit, malam ini - tanpa kawalan bola yang baik dan banyak kesilapan - pengendali itu perlu mencari satu ramuan mujarab atau pun mengharapkan satu keajaiban berlaku.

"Saya kecewa dengan apa ditunjukkan pemain kita, khasnya dalam babak kedua....pemain seperti hilang punca.

"Pemain juga banyak leka dan ini bukan sahaja bahagian benteng tapi juga tengah dan jentera serangan. Semua bahagian mengecewakan," kata bekas pemain kebangsaan itu selepas tamat perlawanan.

Syria yang beraksi dalam perlawanan persahabatan pertama sejak perlawanan kelayakan Piala Asia pada 5 Mac lalu jelas memberi pengajaran baik kepada pasukan tuan rumah betapa tahap prestasi mereka ketika ini.

Skuad negara akan menentang Vietnam dalam satu lagi siri persahabatan, Ahad ini.

Kekalahan itu adalah ketiga dicatat anak didik Dollah yang sebelum ini tewas dalam dua aksi persahabatan terdahulu.

Mereka kalah 4-1 kepada Tajikistan di Stadium Central Dushanbe, Tajikistan pada 8 Ogos lalu selain tewas kepada Indonesia 2-0 di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, Surabaya, Indonesia pada 14 September lalu.

Skuad Harimau Malaya hanya mencatat satu kemenangan iaitu mengalahkan Kemboja 4-1 di Stadium Shah Alam pada 20 September lalu.

Dalam Piala AFF, Malaysia diundi dalam Kumpulan B dan membuka tirai perlawanan menentang Myanmar pada 23 November ini, diikuti pertemuan dengan Thailand pada 26 November sebelum menentang tuan rumah, Singapura pada 29 November.


EmoticonEmoticon