04 November, 2014

DAP dakwa buku rujukan kertas soalan SPM ada unsur perkauman

Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling mendesak Kementerian Pendidikan memperbetulkan perkara berkaitan buku rujukan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang didakwa mengandungi sentimen perkauman
DAP hari ini menggesa Kementerian Pendidikan menyiasat dan mengambil tindakan ke atas pengedaran buku rujukan bagi model kertas soalan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang didakwa mengandungi sentimen perkauman.

Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling mendedahkan model kertas soalan ujian SPM itu juga seolah-olah cuba menyalahkan kewujudan sekolah jenis kebangsaan yang dikatakan menjadi punca menyebabkan jurang perkauman.

"Kementerian Pendidikan harus memperbetulkan perkara tersebut. Mereka tidak boleh lari daripada tanggungjawab buku rujukan pendidikan adalah di bawah seliaan kementerian tersebut," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau pada sidang medianya itu menunjukkan buku rujukan tersebut yang bertajuk "Kertas Model Sebenar SPM Bahasa Malaysia" terbitan Info Didik Sdn Bhd.

Buku‎ yang dicetak pada 2014 itu bagaimanapun tidak menyatakan tahun peperiksaan bagi kertas soalan berkenaan yang dikatakan mengandungi unsur perkauman.

Soalan tersebut berdasarkan petikan cerpen 'Melissa' oleh Abdullah Hussain dalam antologi Harga Remaja Dewan Bahasa dan Pustaka.

"Soalan itu berbunyi: 'Selain itu berlakunya pembunuhan. Akhir sekali berlakunya pembunuhan orang Melayu yang dilakukan oleh orang Cina‎.'

"‎Selain itu, pelajar juga perlu menjawab soalan berbunyi: 'Selain itu pertambahan sekolah jenis kebangsaan menyebabkan wujud pemisahan murid berdasarkan kaum sejak awal lagi.

"Akhir sekali para pemimpin sering membangkitkan isu sensitif menyebabkan timbul prasangka buruk masyarakat berbilang kaum," katanya seperti dipetik daripada buku tersebut.

Pada masa sama beliau menyelar Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ‎juga menteri pendidikan atas jawapan yang diberikan berkenaan isu tersebut.

"Beliau berkata buku tersebut adalah terbitan swasta maka kerajaan (Kementerian Pendidikan) tidak ada kuasa terhadap syarikat penerbitan itu.

"Bagi kami, ini satu kenyataan tidak bertanggungjawab. Mengapa pula Kementerian Pendidikan tidak ada kuasa walhal ia turut berada di bawah bidang kuasa jabatan itu?" soal beliau.

Beliau menggesa Kementerian Pendidikan segera mengambil tindakan dengan menarik balik pengedaran buku rujukan itu.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/dap-dakwa-buku-rujukan-kertas-soalan-spm-ada-unsur-perkauman#sthash.h2RiKsLQ.dpuf


EmoticonEmoticon