19 November, 2014

Hubungan sulit, kekasih isteri dibelasah suami

KUALA TERENGGANU - Angkara cemburu, seorang suami nekad membelasah lelaki dipercayai kekasih isterinya sehingga nyaris buta dalam kejadian di Kampung Baru Kiri, Kemasik, Chukai, Kemaman pada Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa berusia 22 tahun yang cedera di mata dikejarkan ke Klinik Kemasik sebelum dirujuk ke Hospital Kemaman.

Bagaimanapun, disebabkan kecederaan yang serius pada selaput mata, mangsa terpaksa dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk menjalani pembedahan kecil.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, siasatan awal mendapati, suspek bertindak sedemikian kerana cemburu selepas mengetahui mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.

Menurutnya, insiden itu diketahui abang mangsa berusia 24 tahun yang sedang berehat di rumah di kampung sama selepas dimaklumkan beberapa penduduk yang melihat kejadian.

“Sejurus dimaklumkan, abang mangsa bergegas ke lokasi kejadian yang tidak jauh dari rumah mereka. Sebaik tiba, abang mangsa melihat adiknya berada dalam keadaan separuh sedar dengan beberapa kesan kecederaan termasuk pada mata.

“Abang mangsa segera membawa adiknya ke klinik berhampiran, namun pihak klinik meminta mangsa dihantar ke Hospital Kemaman bagi rawatan lanjut sebelum dirujuk ke HSNZ untuk jalani pembedahan kecil,” katanya.

Kata Che Suza, kecederaan dialami mangsa dipercayai akibat ditumbuk dengan buku lima dan lebih parah apabila terkena cincin dipakai suspek, tetapi keadaan mangsa dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan.

“Siasatan masih dijalankan. Kita sedang mengenal pasti suspek yang bertanggungjawab. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya,” katanya.


EmoticonEmoticon