04 November, 2014

Siswa UM rancang 'Occupy University' Jumaat ini

Sekumpulan gabungan mahasiswa Universiti Malaya (UM) akan mengajurkan "Occupy University" sebagai solidariti kepada lapan mahasiswanya termasuk presiden persatuan mahasiswanya (PMUM) Fahmi Zainol yang bakal mengadap Lembaga Tatatertib Jumaat ini.

Acara itu bakal berlangsung pada hari yang sama ekoran penganjuran acara pidato Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dataran Dewan Tunku Canselor pada 27 Oktober lalu.

Program itu akan bermula jam 9 pagi hingga 5 petang bertempat di Gazebo di Kompleks Perdana Siswa turut disokong Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) dan Pro–Mahahsiswa UM (pro-M UM).

“Tujuan kami menganjurkan program ini adalah bagi menunjukkan solidariti kepada lapan orang mahasiswa (itu),” kata Setiausaha Agung Progressif Universiti Malaya Vince Tan ketika dihubungi Malaysiakini.

Vince berkata antara acara di sebelah pagi yang diatur ialah sudut pidato, teater senyap dan persembahan musik dari Accino & Gang, manakala ceramah pula akan diadakan di sebelah petang.

Sementara itu, Presiden PMUM, Fahmi Zainol yang berdepan dengan sembilan pertuduhan berharap agar pentadbiran universiti mengambil tindakan yang rasional dan menangguhkannya sehingga mereka bersedia.

Beliau turut menjelaskan seramai lapan siswa yang bakal dihadap ke Lembaga Tatatertib dan bukannya sembilan orang seperti yang dilapor media sebelum ini.

“Apapun yang berlaku, saya harap pihak pengurusan (kampus) akan mengambil keputusan yang rasional," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

“Saya dan teman-teman mahu tangguh, namun terpulang pada universiti mahu tangguhkan sampai bila. Kami minta tangguh untuk buat persediaan untuk prosiding tersebut,” katanya lagi.

Fahmi turut menegaskan bahawa beliau tidak bersetuju dengan sembilan pertuduhan dan akan berdepan dengannya "habis-habisan".

Katanya, beliau dan tujuh rakan yang lain akan menyelesaikan masalah itu tanpa bantuan dari mana-mana parti politik dan berharap semua pihak memberi sokongan kepada mereka.

“Kami ajak Anwar sebagai kapasiti alumni. Jadi apa yang berlaku biarlah kami selesaikan sendiri tanpa bantuan dari ahli politik dan berharap agar semua pihak menyokong kami,” katanya.


EmoticonEmoticon