11 Mac, 2016

Wanita DAP kutuk cadangan sebat penzina ditempat awam

Selepas Wanita MCA, pemimpin Wanita DAP pula mengutuk cadangan seorang anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS di Kelantan untuk menjalankan hukuman sebat secara terbuka untuk pesalah zina negeri itu.

Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama Setiausaha Publisiti Wanita DAP Pulau Pinang Syerleena Abdul Rashid dan anggota parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto hari ini.

“Cadangan itu telah mengalihkan perhatian secara meluas terhadap perjuangan menegakkan keadilan dan menentang rasuah serta salah guna kuasa pihak berkuasa.
“Cadangan itu mengejutkan, apatah lagi apabila dilontarkan sejurus selepas Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac,” kata mereka.

Wanita MCA semalam membidas Datuk Hassan Mahmood (PAS-Tawang), yang juga pemimpin Dewan Ulama PAS Kelantan kerana menyarankan sebatan terbuka dibuat terhadap pesalah zina di negeri itu.

Ketuanya Heng Seai Kie berkata hukuman sebegitu bukan hanya bertentangan dengan hak asasi manusia tetapi juga perlembagaan negara dan undang-undang sedia ada.

Hassan menyarankan kerajaan negeri mempertimbangkan hukuman sebegitu sebagai langkah pencegahan serta menginsafkan rakyat.

Beliau mengesyorkan hukuman itu dilakukan pada hari Jumaat dan lebih baik jika dilaksanakan di hadapan masjid.

Kerajaan Kelantan dilapor menyokong cadangan itu tetapi akan menelitinya terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan diambil. - Malaysiakini