12 April, 2016

Pelabur Malaysia, Dató Dr. Noordin Ahmad Sah Beli Kelab Itali, FC Bari

Laman web rasmi kelab Serie B, FC Bari 1908 mengumumkan 50% syer kelab mereka kini menjadi milik seorang ahli perniagaan dan pelabur Malaysia, Dato’ Dr. Noordin Ahmad.

Berita ini turut disahkan oleh presiden FC Bari, Gianluca Paparesta.

Sebelum ini, 95% syer FC Bari dimiliki oleh presiden kelab, Gianluca Paparesta. Manakala 5% lagi dimiliki oleh usahawan IT Itali, Cosmo Giancaspro.

Pelabur Malaysia bakal menjadi pemilik baru

Awal Januari 2016 lepas, FC Bari pernah menarik minat pelabur China, Herman Zheng untuk membeli saham majoriti kelab. Bagaimanapun minat pelabur China tersebut tidak direalisasikan kepada bidaan yang konkrit.

Kami difahamkan Dato’ Dr. Noordin Ahmad membeli 50% syer tersebut daripada Gianluca Paparesta dengan harga €12 juta. Ini bermakna Dato’ Dr. Noordin bakal menjadi pemilik saham majoriti dan pemilik baru FC Bari.

Kesepakatan penjualan syer ini telah dicapai sejak 8 April 2016 yang lepas.

Ini sekaligus menjelaskan mengapa ada bendera Malaysia tersergam indah di bahagian grandstand Stadio San Nicola – stadium FC Bari – semasa perlawanan Serie B menentang AC Cesena pada 4 April 2016 yang lepas.

Malah dalam perlawanan yang sama, kelihatan ada mesej ‘Selamat Dato’ pada kain rentang di bahagian Curva Nod stadium.

Reaksi positif dari penyokong FC Bari

Tinjauan kami di laman Facebook rasmi FC Bari mendapati rata-rata penyokong FC Bari berterima kasih kepada jasa Gianluca Paparesta – bekas pengadil Serie A – yang menyelamatkan FC Bari dari dibubarkan selepas diisyhtihar bankrap.
Embed from Getty Images

Untuk pengetahuan anda, Paparesta bertanggungjawab mengumpulkan beberapa pelabur dan membentuk sebuah konsortium pada Mei 2014 untuk membeli FC Bari yang pada ketika itu dilelong oleh bank pada harga cuma €2 juta.

Seorang penyokong FC Bari menulis:

“Walaupun beliau bukan seorang jutawan, Paparesta menyelamatkan kita daripada bankrap. Beliau menjaga kelab dengan rasa bangga sebelum menyerahkannya kepada pemilik baru yang mempunyai duit.”

“Tiada siapa yang tahu macam mana orang Malaysia ini akan urus kelab. Tapi jika Paparesta percayakannya, saya percaya keputusan Paparesta. Terima kasih, Paparesta.”

Media Itali melaporkan Dato’ Dr. Noordin memang minat dan tidak asing dengan bola sepak Itali. Beliau dikatakan berkawan rapat dengan Presiden Lazio, Claudio Lotito.

Jika Dato’ Dr. Noordin memang seorang peminat Serie A yang sejati seperti yang dilaporkan media Itali, FC Bari bakal berada dalam jagaan yang baik.

Ketika ini, FC Bari sedang menduduki tangga ke-3 Serie B dan berada di posisi yang baik untuk dipromosi ke Serie A pada musim hadapan.