17 Februari, 2019

Suhaimi disingkirkan daripada Konsert Amal 4Nomena Alumni UIAM


KUALA LUMPUR - Penyanyi nasyid Suhaimi Saad disingkirkan daripada terlibat dalam Konsert Amal 4Nomena Alumni UIAM yang bakal berlangsung pada April depan.

Pengarah KGM Event, Mahmud Fahrurrazey selaku penganjur konsert itu memberitahu, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira segenap sudut pandangan dan keperluan demi kelangsungan penganjuran konsert amal itu.

"Kami bersepakat untuk merehatkan Suhaimi Saad daripada konsert kali ini.

"Keputusan ini juga diambil untuk memberi sedikit ruang kepada beliau atas persetujuan bersama dengan kedua-dua belah pihak setelah berbincang dengan teliti," katanya dalam satu kenyataan kepada Kosmo! Online di sini hari ini.

Baru-baru ini Suhaimi mengeluarkan beberapa kenyataan yang berbaur kontroversi sehingga mencetuskan kekecohan ramai.

Antara kenyataan yang dikeluarkan termasuklah perdebatan bahawa bumi berbentuk rata selain menyatakan pendirian dirinya sebagai pejuang antivaksin.

Sementara itu,

Suhaimi atau nama sebenarnya, Mohd.Suhaimi Saad, 38, membuat kenyataan rasmi tersebut menerusi laman Facebook peribadinya, Mosus semalam.

Dalam entri tersebut, Suhaimi turut menjelaskan punca pengguguran namanya adalah disebabkan kontroversi bumi tidak berbentuk sfera.

"Sukacita dimaklumkan disebabkan kontroversi yang melanda SS (Suhaimi Saad) kebelakangan ini, pihak penganjur dan penaja konsert telah pun menggugurkan SS daripada senarai nama artis yang membuat persembahan pada malam itu.

"Alhamdulillah SS percaya ada hikmah dan percaya bahawa Allah akan mengantikannya dengan sesuatu yang lebih baik. Semoga konsert tersebut berlangsung dengan meriah dan jayanya walau tanpa kehadiran SS," katanya memetik entri Facebook Mosus.

Suhaimi yang juga merupakan bekas ahli kumpulan In-Team dijadual bakal mengadakan konsert bersama Hijjaz, In-Team, UNIC dan Mestica yang bakal diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak Selangor pada 20 April depan.

Ia merupakan konsert reunion pertama yang menggabungkan kesemua penyanyi nasyid yang pernah bernaung di bawah Hijjaz Records. - K! ONLINE
loading...


EmoticonEmoticon