30 Mei, 2019

Bukan Islam agih zakat boleh timbul fitnah

PETALING JAYA: Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata pemberian bantuan zakat oleh orang bukan Islam kepada orang Islam boleh menimbulkan kekeliruan, kerana tanggungjawab itu sepatutnya digalas orang Islam.

Khalil menjelaskan dalam isu zakat, proses lazimnya ia diuruskan oleh orang Islam, untuk orang Islam dan dari orang Islam.

“Sepatutnya orang Islam yang kena bagi kepada orang Islam,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas pemberian bantuan zakat oleh Adun Pulau Tikus, Chris Lee Chun Ki kepada penduduk Kampung Heriot dan Bangkok Lane di Pulau Pinang pada 26 Mei lalu.

Khalil dalam satu kenyataan khuatir ia akan menimbulkan prasangka buruk oleh orang Islam dan mendatangkan fitnah yang boleh meresahkan umat.

“Saya percaya dalam kalangan pemimpin DAP, pegawai mereka ada orang Islam, biar pegawai mereka bagi tetapi kenapa dia nak bagi sendiri?” katanya kepada FMT.

Khalil meminta isu ini diberi perhatian kerana tidak mahu orang-orang politik mengambil keuntungan politik menerusi pemberian bantuan zakat.

“Isu zakat cukup sensitif dalam kalangan orang Islam dan adalah sangat wajar orang Islam yang menguruskannya,” katanya.

Khalil turut ditanya mengenai pandangan mufti Pulau Pinang bahawa pengagihan bantuan zakat kepada golongan asnaf oleh orang bukan Islam hukumnya harus.

Wan Salim Wan Mohd Noor menjelaskan dari sudut feqah, orang bukan Islam boleh diwakilkan untuk menerima atau mengagihkan zakat kepada golongan asnaf, kerana ia berkaitan “mu’amalat” dan ibadat “maliyah”, dan bukan ibadat “badaniyah” seperti solat dan puasa.

“Saya tak baca lagi kenyataan mufti Pulau Pinang itu. Sebelum komen saya kena baca dulu,” katanya.

Sumber: Free Malaysia Today

loading...


EmoticonEmoticon