17 Mei, 2019

Ezam umum penubuhan Parti Negara

PUTRAJAYA 17 Mei - Datuk Ezam Mohd. Nor hari ini mengumumkan penubuhan Parti Negara, sebuah parti politik yang akan berjuang melawan rasuah.

Menurut Ezam, Parti Negara atau singkatannya NEGARA, berdiri pada satu matlamat iaitu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara anti rasuah yang bersih dari gejala rasuah dalam segenap lapisan masyarakat.

“Parti ini adalah sebuah parti berbilang kaum dimana ahli parti ini nanti terbuka kepada setiap warganegara yang berumur 18 tahun ke atas,” kata Ezam pada sidang akhbar sejurus menghantar permohonan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS), di sini hari ini.

“Cogan kata parti adalah Perjuangan Negara Anti Rasuah dan perjuangan kami adalah untuk menjadikan rasuah sebagai musuh utama negara,” kata Ezam lagi.

Apabila ditanya sama ada permohonan beliau menubuhkan NEGARA diterima atau ditolak, Ezam berkata: “Kami dilayan dengan adil dan baik oleh ROS, dan mereka memberitahu permohonan kami mungkin akan mengambil sedikit masa kerana penubuhan kami adalah berdasarkan satu objektif sahaja.

“Jadi saya percaya ROS perlu merujuk dahulu (perkara ini) dengan beberapa pihak lain. Kami sanggup menunggu,” tambahnya. - UTUSAN ONLINE

loading...


EmoticonEmoticon