27 Mei, 2019

Husam masih 'perasan' dia anggota PAS - Nasrudin

PAS menjalankan kerjasama dengan Umno selepas melakukan proses yang sangat teliti dan berhemah, kata salah seorang pemimpin kanan parti itu hari ini.

Kata Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan ia bermula daripada persetujuan Majlis Syura Ulama, diikuti Jawatankuasa Pusat PAS kajian oleh beberapa agensi yang dilantik parti berkenaan untuk membuat kajian.

Selepas ini kata Nasrudin isu kerjasama berkenaan akan dibincangkan oleh anggota parti melalui perwakilan mereka di muktamar akan datang.

Justeru kata bekas anggota parlimen Temerloh itu, Naib Presiden Amanah Husam Musa mungkin masih menganggap beliau sebahagian daripada PAS apabila menyarankan bagaimana proses kerjasama itu patut dilakukan.

"Husam mungkin perasan dia masih anggota PAS atau naib presiden PAS sehingga terbawa-bawa dalam ingatannya bagaimana keperluan PAS dalam memproses keputusan.

"Ataupun beliau seorang yang busybody, suka campur tangan urusan dalaman parti lain," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam Husam yang juga seorang senator berkata, PAS serta Umno wajar mendapatkan persetujuan daripada anggota masing-masing sebelum menandatangani piagam bersama.

Timbulkan rasa tak puas hati

Piagam itu akan menandakan terjalinnya hubungan kerjasama secara rasmi di antara kedua-dua parti yang pernah berseteru selama berpuluh-puluh tahun sebelum ini.

Kerjasama itu dipergiatkan selepas Umno - dan BN - kalah kepada PH pada pilihan raya umum tahun lalu, manakala PAS pula gagal mendapat kuasa di peringkat persekutuan walaupun merangka strategi mahu menjadi kingmaker (penentu kuasa) sebelumnya.

Untuk rekod permusuhan dalam kalangan penyokong Umno dan PAS pernah menyaksikan berlaku perpecahan serius terutama di Pantai Timur.

Antara lain ia melibatkan berlakunya sembahyang dua imam, memulaukan majlis kenduri-kendara dan menolak sembelihan orang yang berlainan parti.

Kata Nasrudin ketika ini hubungan PAS dan Umno semakin erat dari sehari ke sehari dan akan bertambah erat menjelang hari raya minggu depan.

"Dua parti terbesar umat Islam dan orang Melayu yang dulunya saling bertelingkah kini menyusun rencana bersama untuk mendepani cabaran di hari muka, khususnya mengalahkan PH yang kini didominasi oleh DAP," dakwanya.

Menurut Nasrudin kenyataan Husam itu juga adalah cubaan untuk menimbulkan rasa tidak puas hati anggota PAS terhadap kerjasama berkenaan.

Katanya ia juga percubaan Husam menyembunyikan resah keterlaluan yang dialami PH.

"Husam cuba menilik masa depan PAS dan Umno dengan menganggap hubungan ini tidak akan lama, sedang beliau lupa nak tilik nasib parti sendiri yang terumbang ambing di dalam PH," katanya.

Sumber: Malaysiakini

loading...


EmoticonEmoticon