17 Mei, 2019

Jangan salahkan kuota matrikulasi jika pasaran kerja masih tidak adil kepada Bumiputera - Maszlee

GEORGE TOWN: Menteri Pendidikan Maszlee Malik mempertahankan program matrikulasi yang memberi kelebihan kepada pelajar Bumiputera dengan meminta golongan yang mendesak kursus pra-universiti itu dibuka kepada semua kaum juga menangani isu pasaran kerja yang tidak adil dan didominasi kaum tertentu.

“Kalau kini kita nak ubah, kalau kita kata Malaysia baru kita tak perlu kuota dan sebaganya, begitu juga kita kena pastikan bahawa peluang pekerjaan kepada Bumiputera tidak dinafikan,” kata Maszlee ketika bercakap kepada satu forum di Universiti Sains Malaysia semalam.

Beliau memberi respons kepada hadirin yang bertanya kenapakah kerajaan Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk mengekalkan sistem kuota berasaskan kaum bagi program matrikulasi, yang membolehkan pelajar tidak menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran (STPM) untuk memasuki universiti awam.

Bulan lepas Putrajaya berkata, ia akan mengekalkan kuota 90% untuk pelajar Bumiputera bagi program matrikulasi, tetapi pada masa sama menambah angka pengambilan pelajar daripada 25,000 kepada 40,000 orang.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum itu menyifatkan program matrikulasi sebagai “pintu belakang” untuk pelajar Melayu memasuki universiti awam, berikutan gesaan beberapa pemimpin DAP supaya sistem kuota dihapuskan.

Maszlee berkata, sistem kuota akan diteruskan sehingga kerajaan berjaya mengatasi masalah ketidakseimbangan pelajar di pusat pengajian tinggi, dan sehingga pasaran kerja menjadi lebih adil dalam pengambilan graduan Bumiputera.

Katanya, pasaran kerja mendiskriminasi mereka yang tidak tahu berbahasa Mandarin dan juga kerana memakai tudung.

“Kalau kita boleh hapuskan itu semua (diskriminasi), jikalau kita boleh beri peluang yang saksama pada pekerjaan, pada peluang perniagaan, pada waktu itu kita boleh bicarakan tentang bersikap adil dalam semua perkara,” katanya.

Katanya, kerajaan PH baru berusia 1 tahun dan untuk mengatasi ketidakseimbangan itu adalah satu tugas yang amat besar pada masa ini.

“Avengers pun tak boleh buat dalam masa 1 tahun. Avengers ambil masa 8 tahun untuk bunuh Thanos,” katanya.

Maszlee berkata, ramai orang bukan Melayu lebih berkemampuan dan boleh menghantar anak mereka ke sekolah swasta.

Katanya, pelajar bukan Melayu merupakan kumpulan majoriti di universiti swasta dan asing di Malaysia, sementara program matrikulasi merupakan usaha kerajaan memastikan pelajar miskin, terutama daripada kalangan kelompok Bumiputera, diberikan peluang untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.

Beliau mengakui berlakunya salah guna dalam sistem kuota dengan berkata kerajaan hari ini mahu memastikan program matrikulasi ditawarkan kepada mereka yang benar-benar layak dan memerlukan.

“Kita rasa satu hari nanti, kita akan melihat kekayaan di Malaysia dikongsi oleh semua orang. Pada waktu itu, kita tidak perlukan kuota dalam semua perkara.

“Tetapi sehingga saat itu, kita perlu bantu mereka yang memerlukan, bukan kerana kaum atau siapa mereka, tetapi kerana mereka perlu ditolong dan dibantu.”

loading...


EmoticonEmoticon