30 Mei, 2019

Lelaki pecahkan cermin kereta diberkas

SERDANG – Tindakan seorang lelaki memecahkan cermin kereta seorang wanita dalam satu kejadian di Jalan Kasturi, Seksyen 12, Seri Kembangan di sini membawa padah apabila dia diberkas polis petang tadi.

Suspek berusia 30-an itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sebuah kilang di Ba­lakong pada pukul 3 petang.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, suspek yang juga pembantu stor kilang itu diberkas di tempat kerjanya selepas pihak polis menerima laporan daripada seorang pekerja kedai kek yang mendakwa cermin kereta Perodua Axianya dipecahkan suspek dalam satu kejadian pada Selasa lalu.

“Bertindak atas laporan itu, kami memberkas suspek, merampas motosikal dan topi keledar yang digunakan semasa kejadian.

“Suspek ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan 506 akta yang sama iaitu melakukan ugutan jenayah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada Selasa lalu, seorang wanita yang sedang memandu kereta didatangi dua lelaki yang menunggang motosikal bera­singan yang bertindak menghentikan kenderaan mereka secara mengejut.

Siasatan polis mendapati, suspek bertindak demikian kerana tidak puas hati de­ngan tindakan mangsa membunyikan hon. - K! ONLINE


loading...


EmoticonEmoticon