01 Mei, 2019

NGO buat laporan polis perlakuan Aliff Syukri terhadap anak perempuannya

Baru-baru ini, usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri dikecam teruk apabila beliau memuat naik satu video mengatakan beliau merotan anak perempuannya, Qadejah El Zahra, 9, kerana membuka tudung di hadapan lelaki tidak kenali.

Dalam video tersebut, turut memaparkan beliau sedang menyapu ubat di belakang badan anak perempuannya itu selepas merotannya. Menerusi entri itu, Aliff turut memberitahu beliau bertindak merotan anaknya kerana mahukan anaknya menjadi seorang wanita bermaruah.

Susulan isu tersebut, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Protect and Save The Children (P.S The Children), ahli Gabungan Hak Kanak-Kanak Malaysia (CRCM), membuat laporan polis ke atas Aliff Syukri di ibu pejabat polis daerah Petaling Jaya.

CRCM dalam satu kenyataan berkata perbuatan itu disifatkan sebagai penderaan fizikal dan mereka amat terkesan dengan perbuatan usahawan tersebut.

“Dia secara umum memalukan anaknya dengan rakaman video menyapu ubat di belakang badan anaknya untuk ditonton kira-kira 3.1 juta pengikutnya.

“Aliff mendisiplinkan anaknya dengan cara ekstrem, bahkan memberikan penjelasan berhubung tindakannya itu.

“Perbuatan merotan anak perempuannya merupakan penderaan fizikal dan satu kesalahan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak dan juga di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga,” katanya CRCM kepada mStar Online.

Dalam pada itu, CRCM turut menggesa pihak berkuasa dan juga Jabatan Kebajikan Masyarakat mengambil tindakan segera terhadap Aliff Syukri.
loading...


EmoticonEmoticon