14 Mei, 2019

PM mengaku pernah terima hadiah 26 buah kereta

PUTRAJAYA 14 Mei - Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui beliau pernah menerima hadiah sebanyak 26 buah kereta sepanjang menjadi Perdana Menteri sebelum ini.

Menurut Perdana Menteri, kesemua kereta itu bagaimanapun telah dipulangkannya dan orang ramai yang ingin melihat kereta-kereta tersebut boleh melihatnya di Langkawi.

Jelas beliau, sekarang beliau dan semua menteri Kabinet tidak lagi boleh menerima hadiah mewah apabila kerajaan mensyaratkan nilai hadiah tidak melebihi RM500, selain bunga dan buah-buahan.

Bagaimanapun katanya, ada pihak hendak memberinya hadiah sebanyak satu tan dodol namun menolaknya, selain dua kotak besar buah-buahan.

"Sekarang ini rumah saya penuh dengan makanan, dengan bunga tak payah report kepada Tan Sri Abu Kassim (Pengerusi Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed)," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) Ke-8 di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, sebagai komitmen dan akauntabiliti menteri, GIACC telah mengemukakan lima cadangan kepada JKKMAR bagi memasukkan skop Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) dalam petunjuk prestasi utama (KPI) menteri.

Cadangan itu termasuk semua menteri harus memastikan anggota pentadbiran kementerian telah mengisytiharkan harta kepada SPRM, mewujudkan dan melaksanakan dasar menerima hadiah, melaksanakan pelan antirasuah peringkat organisasi masing-masing.

Cadangan lain termasuk mengadakan mesyuarat pemantapan governans, integriti dan antirasuah di peringkat kementerian dan meningkatkan ketelusan perolehan awam dan mengurangkan risiko rasuah.

"Kerajaan berpendapat bahawa rasuah adalah satu gejala jenayah yang akan menghalang kemajuan negara kita.

"Untuk melawan rasuah ini kita perlu mengambil banyak tindakan, tindakan bukan sahaja oleh SPRM tetapi juga tiap anggota kerajaan kementerian institusi dan sebagainya. Semuanya memain peranan untuk mencegah rasuah dan masing-masing perlu tahu apakah cara mereka begerak untuk mencegah rasuah.

"Semua menteri dan timbalan menteri, dan juga kita akan panjangkan kepada semua Ahli Parlimen walaupun mereka daripada parti lawan," katanya.

Mengenai pengisytiharan harta semua Ahli Parlimen, Perdana Menteri berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof sebelum diteruskan.

Jelasnya, pengisytiharan harta dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang adalah sebagai 'fi' di atas keterbukaan kerajaan yang membenarkan mereka mengkritik.

Ditanya siapa yang akan memantau pelaksaan usaha kerajaan dalam menangani rasuah, Perdana Menteri berkata, ia akan dibuat oleh GIACC berdasarkan kepada laporan awam. - UTUSAN ONLINE
loading...


EmoticonEmoticon