17 Mei, 2019

Sekat peminjam ke luar negara bukan cadangan PTPTN - Maszlee

GEORGE TOWN - Cadangan untuk memperkenalkan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bukan cadangan yang dikemukakan oleh perbadanan itu.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, sebaliknya ia adalah cadangan yang diperoleh daripada konsultasi awam yang diadakan oleh PTPTN.

"Saya lihat apa yang PTPTN kemukakan ialah konsultasi awam. Mereka inginkan pandangan awam terhadap beberapa perkara. Mereka ingin cadangan daripada konsultasi awam itu.

"Itu bukan cadangan mereka, cuma apabila wartawan tanya, dia (Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan) jawab macam itu. Pada saya PTPTN perlu memberikan penjelasan kepada media supaya tidak berlaku silap faham seperti itu," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Sungai Ara, dekat sini hari ini.

Semalam, Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN, Mastura Mohd. Khalid berkata, penguatkuasaan yang lebih ketat terhadap peminjam yang tidak membayar balik pinjaman bagi tempoh yang lama adalah antara 10 idea yang diperoleh untuk dipertimbangkan bagi pelaksanaan mekanisme skim bayaran balik pinjaman PTPTN.

Mastura berkata, idea itu diperoleh hasil perbincangan meja bulat dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk ahli kewangan, Ahli Parlimen dan mahasiswa dari Januari hingga Mac lepas dan terdapat enam langkah penguatkuasaan yang dicadangkan antaranya sekatan untuk pembaharuan pasport, lesen memandu dan cukai jalan. - Bernama

loading...


EmoticonEmoticon