18 Mei, 2019

Surah An Nisa' jadi pegangan Ketua Hakim Negara

PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, sebak ketika membacakan petikan ayat 135, Surah An Nisa’ pada majlis meraikan pelantikannya ke jawatan itu di Istana Kehakiman di sini, hari ini.

Tengku Maimun berkata, mesej petikan ayat daripada surah al-Quran mengenai wanita itu adalah antara yang akan menjadi pegangannya dalam melaksanakan tugas baharu itu.

Terjemahan ayat berkenaan berbunyi: “Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu.

“Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya.

“Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

Yang turut hadir Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri SA Vigneswaran; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof; Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop dan Peguam Negara, Tommy Thomas.

Dalam ucapannya, Tengku Maimun mengingatkan hakim tidak bertanggungjawab kepada sesiapa kecuali hati nurani dan pengetahuan mereka ketika membuat keputusan.

Katanya, keputusan dibuat hanya berdasarkan bukti yang dikemukakan di mahkamah dan mengikut perundangan.

“Orang awam cenderung menyamakan keadilan dengan penghakiman yang memihak kepada golongan miskin terhadap yang kaya, yang lemah terhadap yang kuat, rakyat atau pembangkang terhadap kerajaan.

“Ia bukan kayu pengukur kepada keadilan. Yang salah tetap salah tanpa mengira kaya atau miskin, lemah atau kuat dan rakyat atau pembangkang atau kerajaan,” katanya.

Tengku Maimum berkata, badan kehakiman menghormati hak orang awam memberi komen mengenai tugas hakim, namun kritikan terhadap keputusan hakim mesti dibuat dengan penuh tanggungjawab dan berdasarkan fakta.

Katanya, jika ada dakwaan salah laku terhadap hakim, mereka yang mempunyai maklumat perlu membuat laporan kepada pihak berkuasa supaya siasatan dapat dijalankan.

“Orang awam boleh menulis kepada saya, Presiden Mahkamah Rayuan atau Ketua Hakim di dua Mahkamah Tinggi untuk kami melakukan apa yang perlu.

“Amat merugikan badan kehakiman dan negara jika ada yang terus membuat tuduhan liar terutama di media sosial tanpa melalui saluran sepatutnya untuk ia dikendalikan secara efektif.

“Ini penting kerana secara tradisinya, hakim tidak akan memberi maklum balas kepada kritikan dan dakwaan. Hakim bercakap melalui penghakiman mereka,” katanya.

Tengku Maimun berkata, kritikan tidak berasas terhadap badan kehakiman hanya akan melemahkan tadbir urus keadilan dan menghakis keyakinan umum terhadap institusi itu.

“Saya menggesa orang awam untuk lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam memberikan pandangan serta komen kerana ia akan mendatangkan akibat kepada mereka.

“Bagi melindungi integriti badan kehakiman, tindakan yang wajar akan terus diambil terhadap mereka yang merosakkan imej dan maruah badan ini,” katanya.
loading...


EmoticonEmoticon