06 Mei, 2019

TMJ ni budak kecil yang bodoh... - Tun Mahathir

PUTRAJAYA 6 Mei - Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menyifatkan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai seorang budak kecil bodoh dan tidak tahu apa yang berlaku.

Kenyataan yang dilihat kasar itu dibuat Perdana Menteri sebagai menjawab kenyataan terbaharu TMJ berhubung perkara baik dilakukan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang tidak dihebohkan khususnya jumlah tanah Sultan Johor yang dikurniakan untuk rakyat dan kebaikan lain.

“TMJ is a little boy (budak kecil)... dia bodoh kerana tidak tahu apa yang berlaku. Jadi jangan cakaplah apabila anda tidak tahu apa yang sedang berlaku,” katanya dalam sidang akhbar Setahun Pakatan Harapan di bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Dr. Mahathir diminta mengulas kenyataan Tunku Ismail di laman Twitter bahawa perbuatan baik ayahandanya, Sultan Ibrahim yang mengurniakan tanah kepada rakyat dan kerajaan tidak ditonjolkan atau dihebahkan.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah atau krisis dengan institusi raja, khususnya Sultan Johor.

“Tak ada (masalah)... bila saya jumpa (Sultan Johor), baginda pandu kereta dan hantar saya ke lapangan terbang,” katanya.

Menjawab persoalan sama ada institusi raja mencampuri perjalanan urusan pentadbiran kerajaan, Dr. Mahathir menjelaskan, apa yang dilakukan kerajaan hari ini adalah mengikut Perlembagaan dan perundangan.

“Apabila kita lihat ada pelanggaran undang-undang, kita kena ambil tindakan membetulkan, tentu ada keputusan yang tidak dipersetujui, tetapi kita kena ikut (undang-undang), jika kita dapati tidak berlaku pelanggaran undang-undang maka kita gembira menerimanya,” katanya. - UTUSAN ONLINE
loading...


EmoticonEmoticon