13 Jun, 2019

Fitnah berlarutan jika terus sebar video

KUANTAN 12 Jun - Gejala fitnah akan berlarutan jika penyebaran klip video intim mirip seorang menteri yang hangat diperkatakan umum sejak semalam tidak dihentikan dengan segera.

Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH), Datuk Saifuddin Abdullah berkata, fitnah itu bukan sahaja merupakan satu dosa malah perbuatan berkenaan tidak menguntungkan mana-mana pihak.

“Ia hanya membawa kita ke alam fitnah yang tiada henti, sebaliknya kita harus menumpukan perhatian untuk membangunkan negara dan memberikan khidmat kepada rakyat.

“Sebab itu saya harap perkara ini dihentikan kerana tidak menguntungkan sesiapa. Ia membawa kita berlarutan dalam fitnah,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ahli Parlimen dan PH Indera Mahkota di Dewan Atabara di Indera Mahkota di sini malam ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota mengulas mengenai klip video intim yang didakwa melibatkan seorang pemimpin kanan parti politik yang tular sejak semalam.

Hari ini, individu yang didakwa bersama lelaki mirip menteri Kabinet tersebut dalam video berkenaan dilaporkan tampil membuat pengakuan bersumpah bahawa dia terlibat dalam aksi itu.

Mengaku namanya sebagai Haziq Aziz, lelaki itu mendakwa video tersebut dirakam pada 11 Mei lalu di sebuah bilik hotel di Sandakan, Sabah.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dikaitkan sebagai pelaku dalam klip video berkenaan kemudian menafikan sekeras-kerasnya penglibatannya dan menyifatkannya sebagai satu tuduhan jahat dan kejam.

Tidak lama selepas penafian itu, pihak tidak dikenali menyebarkan klip video ‘bahagian kedua’ skandal seks yang didakwa melibatkan Mohamed Azmin.

Saifuddin yang juga Menteri Luar turut menyifatkan penyebaran klip video berkenaan sebagai amalan politik kotor yang tidak akan membawa negara ini bergerak ke hadapan.

Sebaliknya, kata beliau, ia akan menyebabkan berlaku salah faham, tuduh menuduh dan fitnah dalam kalangan masyarakat.

“Kita dalam PH berusaha untuk menegakkan amalan politik baharu yang antara lain bermakna politik hikmah dan bukannya politik fitnah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan pengumuman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia yang kelihatan mengambil tindakan segera dalam isu berkenaan termasuk melakukan siasatan dan lain-lain. - UTUSAN ONLINE

loading...


EmoticonEmoticon