12 Jun, 2019

Klip video tular, PKR Selangor anjur solat hajat

SHAH ALAM 12 Jun - PKR Selangor yang merupakan kubu kuat seorang menteri kanan yang didakwa terlibat dalam video seks sejenis mula menggerakkan penyokongnya apabila satu majlis solat hajat dan bacaan Yassin akan diadakan di kediaman Menteri Besar, malam ini.

Ini susulan serangan yang semakin memuncak ke atas menteri kanan tersebut selepas Muhammad Haziq Abdul Aziz, iaitu Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin tampil membuat pengakuan bersumpah bahawa dia adalah lelaki yang melakukan seks sejenis bersama menteri itu.

Dalam pekeliling yang diedarkan kepada seluruh kepimpinan, penggerak, anggota dan pendukung PKR, mereka diminta untuk berkumpul di kediaman Menteri Besar Selangor.

“Bermula pukul 7 malam (dengan) solat Maghrib berjemaah.

“Tempat: Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor, Bukit Megawati, Seksyen 7, Shah Alam,” kata mesej yang dihantar oleh Timbalan Ketua Pemuda PKR, Hilman Idham.

Pada awal pagi kelmarin, video seks sejenis itu diedarkan secara sistematik melalui kumpulan WhatsApp dengan nama ‘Jemputan Hari Raya’ berserta dokumen bank yang menunjukkan pembayaran sejumlah besar wang tunai kepada menteri itu.

Awal pagi ini pula, Muhammad Haziq, dalam sebuah rakaman video membuat pengakuan bersumpah bahawa dia memang terlibat dalam aksi seks bersama seorang menteri kabinet itu.

Dia mendakwa kejadian berlaku pada 11 Mei lalu semasa Pilihan Raya Kecil Parlimen Sandakan di bilik menteri berkenaan di sebuah hotel di Sandakan.

Sumber - UTUSAN ONLINE

loading...


EmoticonEmoticon