10 Julai, 2019

Exco DAP Paul Yong nafi tuduhan rogol

IPOH 10 Julai - Ahli exco kerajaan negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong hari ini menafikan tuduhan beliau merogol pembantu rumahnya.

Menurutnya, beliau amat terkejut dan keliru dengan tuduhan palsu tersebut yang dilemparkan kepadanya dan menafikan sekeras-kerasnya atas tuduhan yang tidak berasas itu.

Beliau yang memegang portfolio Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru berkata, beliau tidak merogol, mencabul kehormatan atau melakukan apa-apa gangguan terhadap pembantu rumahnya.

“Bagi membersihkan diri saya daripada pertuduhan bersifat fitnah tersebut, saya telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan membawa saksi-saksi untuk membantu siasatan polis bagi menunjukkan bahawa ia merupakan pertuduhan fitnah semata-mata,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Choo Kiong yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh dari DAP berkata, beliau menghormati proses undang-undang yang sewajarnya dan mempercayai pihak polis akan menjalankan siasatan secara profesional dan telus.

“Saya percaya bahawa kebenaran akan mengatasi kebatilan,” katanya. - UTUSAN ONLINE

loading...


EmoticonEmoticon