10 Julai, 2019

Rogol: Paul Yong dibebaskan dengan jaminan polis

IPOH 10 Julai - Ahli exco kerajaan negeri daripada DAP yang ditahan polis semalam setelah dikaitkan dengan tuduhan rogol seorang pembantu rumah warga Indonesia telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Difahamkan, lelaki berusia 49 tahun itu hadir bersama peguamnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada DAP di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada pukul 9 malam semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, tangkapan terhadap suspek adalah susulan daripada laporan polis yang dibuat wanita berusia 23 tahun itu yang mendakwa dirogol majikannya di rumah lelaki itu di Meru.

Katanya, bertindak atas laporan berkenaan, pihak polis telah menjalankan siasatan dengan merakam percakapan mangsa dan menghantarnya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

“Siasatan forensik telah dijalankan di tempat kejadian dan beberapa bukti telah diambil untuk dianalisis. Percakapan beberapa saksi berkaitan termasuk ahli keluarga exco berkenaan juga telah diambil.

“Berdasarkan bukti awal siasatan, pihak polis mengklasifikasikan kes berkenaan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Razarudin berkata, bagi melengkapkan siasatan, tangkapan dilakukan terhadap suspek terbabit semalam dan lelaki itu dihantar untuk pemeriksaan doktor bagi tujuan siasatan.

Beliau memberitahu, suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan kes berkenaan dilengkapkan.

“Pihak polis telah menempatkan mangsa di tempat selamat sehingga kertas siasatan ini dirujuk ke pihak Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.-UTUSAN ONLINE

loading...


EmoticonEmoticon