16 September, 2019

Seberang Perai diisytihar sebagai bandaraya

Abdul Rahman menyerahkan watikah pelantikan jawatan Datuk Bandar MBSP kepada Rozali di Kepala Batas, Seberang Perai hari ini.
SEBERANG PERAI - Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) diisytihar secara rasmi sebagai Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pada Majlis Pengisytiharan MBSP dan Penyerahan Watikah Perlantikan Datuk Bandar di Kepala Batas di sini sebentar tadi.

Pengisytiharan itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas di Dewan Millenium Kepala Batas di sini.

Upacara dimulakan dengan penyerahan Suratcara Pengisytiharan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Pada majlis itu, Yang Dipertua MPSP, Datuk Rozali Mohamud turut mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar MBSP yang pertama selepas pengumuman perlantikan dilakukan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Pengisytiharan itu sekaligus menjadikan negeri ini sebagai negeri pertama berstatus bandar raya sepenuhnya selepas Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) diisytihar secara rasmi pada 2015.

MBSP merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) ke-15 berstatus bandar raya.

loading...


EmoticonEmoticon