27 November, 2019

Murid Tahun 4 Maut Terjerut Baju Hujan Ketika Tunggang Motorsikal

BESUT: Seorang murid tahun empat maut selepas terjerut baju hujan yang dipakainya ketika menaiki motosikal bersama ibu saudaranya.

Kejadian berlaku di Kampung Gong Tanah Merah, Besut kira-kira jam 9.30 pagi Rabu.

Pelajar Sekolah Kebangsaan Jeli (1), Kelantan itu maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian leher.

Ketika kejadian, mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Kampung Gong Nering menghala ke Kampung Darau namun sejurus tiba di lokasi kejadian, baju hujan yang dipakai mangsa tersangkut di bahagian sproket belakang motosikal.

Susulan itu, mangsa telah jatuh dan baju hujan yang dipakainya menjerut bahagian leher.

Sementara itu seorang saksi, Sabri Muda berkata dia cuba membantu menanggalkan baju hujan yang menjerut mangsa namun tidak berjaya.

“Motosikal itu tertindih di atas kepala dia, dan saya pun bergegas ambil pisau dan cuba kerat baju hujan tu tapi tak dapat.

“(Selepas) Saya ambil spanar dan rantai motor baru boleh angkat mayat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut Superintendan, Abdul Rozak Muhammad mengesahkan kejadian.

Katanya mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


EmoticonEmoticon