23 November, 2019

Polis kenal pasti murid rosakkan kerusi di sekolah

POLIS sudah mengenal pasti empat pelajar lelaki yang merosakkan kerusi di sekolah agama di Kota Bharu, semalam sehingga video perbuatan itu tular di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pihak pentadbiran sekolah pada petang hari ini.

“Empat pelajar berusia 14 tahun terbabit sudah dikenal pasti melakukan perbuatan khianat itu.

“Mereka akan dipanggil untuk merakam percakapan untuk siasatan lanjut.

“Setakat ini, kita sudah mengambil keterangan daripada pihak pentadbiran sekolah,” katanya ketika ditemui di sekolah terbabit, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian khianat itu berlaku pada 12 tengah hari semalam di dalam sebuah kelas di sekolah terbabit.
Katanya, siasatan mendapati lapan kerusi plastik dirosakkan dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan dengan anggaran kerugian RM70.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap harta awam,” katanya.

Terdahulu, tular di Facebook mengenai video berdurasi 13 saat memaparkan beberapa pelajar membaling dan menyepak beberapa kerusi plastik di dalam kelas selepas sesi terakhir sekolah semalam.

Tindakan mereka itu dirakam menggunakan telefon pintar milik salah seorang rakan mereka sebelum tular di media sosial sejak pagi hari ini.


EmoticonEmoticon