28 Januari, 2020

26 hospital kendali kes coronavirus - Kementerian Kesihatan Malaysia

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan hari ini mengeluarkan senarai 26 hospital di seluruh negara yang akan berfungsi sebagai hospital rujukan bagi mengendalikan kes disyaki (PUI) dan sahih bagi novel coronavirus 2019 (2019-nCoV).

Daripada jumlah itu, sebanyak 15 hospital di Semenanjung, enam di Sabah, empat di Sarawak dan satu di Labuan.

Hospital terpilih di pantai barat Semenanjung adalah Hospital Tengku Fauziah di Kangar Perlis, Hospital Pulau Pinang (Georgetown), Hospital Sultanah Bahiyah (Alor Setar) dan Hospital Langkawi (Padang Matsirat) di Kedah.

Ia termasuk Hospital Raja Permaisuri Bainun (Ipoh, Perak), Hospital Sungai Buloh (Selangor), Hospital Kuala Lumpur (Wilayah Persekutuan), Hospital Tuanku Jaafar (Seremban), Hospital Melaka dan Hospital Sultanah Aminah (Johor Bahru).

Di pantai timur membabitkan Hospital Raja Perempuan Zainab II (Kota Bahru), Hospital Kuala Krai dan Hospital Tumpat di Kelantan; di Terengganu Hospital Sultanah Nur Zahirah (Kuala Terengganu) dan di Pahang Hospital Tengku Ampuan Afzan (Kuantan).

Di Sabah pula hospital yang terbabit adalah Hospital Queen Elizabeth serta Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah (Kota Kinabalu), Hospital Dutches of Kent (Sandakan), Hospital Tawau, Hospital Lahad Datu dan Hospital Keningau.

Selain itu Hospital Wilayah Persekutuan Labuan juga turut dijadikan hospital rujukan bagi jangkitan virus itu.

Di Sarawak, Hospital Umum Sarawak (Kuching), Hospital Miri, Hospital Bintulu dan Hospital Sibu dipilih mengendali kes disyaki (PUI) dan sahih bagi 2019-nCoV.

Jangkitan kluster 2019-nCoV di seluruh negara setakat ini dalam keadaan terkawal dengan hanya empat warga China disahkan positif bagi jangkitan itu sehingga pagi ini. – BERNAMA


EmoticonEmoticon