28 Januari, 2020

3 lagi warga China disyaki dijangkiti koronavirus - KKM

Mereka yang disyaki terkena jangkitan koronavirus novel
akan menjalani Perintah Pemantauan dan Pengasingan.
(Gambar AP)
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan 3 kes terbaru yang disyaki mengalami simptom koronavirus.

Menterinya, Dzulkefly Ahmad berkata semua individu yang terlibat adalah warga China.

“Seorang daripadanya dikuarantinkan di Hospital Bintulu, Sarawak dan 2 lagi di Hospital Langkawi sementara menunggu keputusan makmal,” katanya pada sidang media bersama Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Mohamaddin Ketapi.

Dzulkefly berkata setakat hari ini jumlah kumulatif kes pesakit di bawah siasatan (PUI) terhadap koronavirus novel (2019-nC0V) adalah 65 kes.

Katanya, daripada jumlah itu, 34 adalah warga Malaysia, 30 warga China dan 1 warga Jordan.

“Daripada jumlah 65 kes PUI ini, terdapat 1 kes yang positif 2019-nCoV sebagaimana yang dimaklumkan sebelum ini.

“Sementara itu, sebanyak 61 kes PUI adalah negatif. Manakala 3 lagi kes PUI warganegara China masih menunggu keputusan makmal,” katanya.

Dzulkefly berkata 3 orang kontak rapat dengan kes positif 2019-nCoV pertama di Singapura masih dirawat di wad isolasi dan dalam keadaan stabil.

Beliau berkata semua 17 kontak rapat kepada kes positif 2019-nCoV ke-4 disahkan negatif dan dilepaskan dari menjalani Perintah Pemantauan dan Pengasingan.

Dzulkefly juga berkata sejak 4 Jan lalu, KKM meningkatkan saringan ke atas semua pengembara iaitu penumpang dan anak kapal dari China di semua pintu masuk antarabangsa (PMA) negara sebagai langkah menghadapi 2019-nCoV.

Beliau berkata saringan ini dilakukan di semua PMA melibatkan lapangan terbang antarabangsa, pelabuhan serta pintu masuk darat di negara ini.

“Pada ketika ini terdapat 64 PMA di seluruh negara,” katanya.

Dzulkefly berkata KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui maklumat yang diperolehi daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Beliau berkata orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya.

“Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.”


EmoticonEmoticon