28 Januari, 2020

KKM sahkan tiga lagi warga China disyaki dijangkiti koronavirus

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan tiga kes terbaru disyaki mengalami simptom koronavirus direkodkan sehingga jam 12 tengah hari tadi.

Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kesemua individu yang terlibat adalah warga China.

"Seorang daripadanya dikuarantinkan di Hospital Bintulu, Sarawak dan dua lagi di Hospital Langkawi sementara menunggu keputusan makmal," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat khas dan taklimat bersama kementeriannya dan Kementerian Kesihatan Malaysia, di Putrajaya, hari ini.
Iklan


Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata lima kes disyaki koronavirus seperti dilapor semalam juga telah disahkan negatif.

"Sebelum ini mereka dikuarantinkan di Hospital Bintulu, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Langkawi," katanya.

Menurut Dzulkefly, jumlah kumulatif kes Pesakit-Di Bawah-Pengawasan (PUI) jangkitan 2019 novel koronavirus (2019-nCoV) adalah 65 kes, melibatkan 34 adalah warganegara Malaysia, 30 warganegara China dan seorang warganegara Jordan.

"Daripada jumlah 65 kes PUI ini, terdapat satu kes yang positif 2019-nCoV sebagaimana yang telah dimaklumkan sebelum ini. Sementara itu, sebanyak 61 kes PUI adalah negatif (34 warganegara Malaysia, 26 warganegara China dan satu warganegara Jordon)," katanya.

Mengulas langkah China menggunakan ubat anti-HIV dan AIDS untuk merawat pesakit koronavirus, Dzulkefly berkata KKM tidak menggunakan sebarang ubat HIV bagi merawat empat pesakit koronavirus warga China yang sedang menerima rawatan di hospital di negara ini.

"Kita tidak akan menggunakannya (ubat anti-HIV). Kerana kita perlu dapatkan pengesahan terlebih dulu.

"Rawatan telah dilakukan dan mereka stabil. Tetapi, apa yang saya tahu vaksin ini (koronavirus) sedang diusahakan dan mengambil masa beberapa bulan," katanya.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China (NHC) cawangan Beijing dalam satu kenyataan sebelum ini dilaporkan telah menggunakan ubat untuk merawat HIV dan AIDS bagi mengubati pesakit koronavirus.

Menurut kenyataan itu lagi, tiga hospital khas kini menggunakan ubat Lopinavir/Ritonavir (LPV/r) untuk merawat pesakit, sebagai sebahagian daripada program Program Diagnosis dan Rawatan Pneumonitis untuk Jangkitan Koronavirus Baharu (Edisi Percubaan).

Sementara itu, mengulas lanjut pertemuan antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Dzulkefly berkata pihaknya telah menggesa penggiat industri pelancongan agar turut sama memainkan peranan dalam membendung penularan wabak koronavirus.

"Agensi pelancongan diminta untuk memaklumkan kepada anggota terlibat dan pelanggan yang ingin ke negara China mengenai situasi terkini kejadian wabak penyakit 2019-nCoV serta nasihat perjalanan yang dikeluarkan oleh KKM dari semasa ke semasa.

"Pengembara yang datang dari negara China juga perlu dimaklumkan keperluan mengisytiharkan status kesihatan sebelum tiba ke Malaysia.

"Selain itu prosedur keperluan menjalani perintah Pemantauan dan Pengasingan serta isolasi sekiranya bergejala perlu dijelaskan kepada pelanggan," katanya.

Tambahnya, KKM juga akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui maklumat yang diperoleh daripada pihak WHO.

"Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan," tambahnya.

Setakat ini, wabak itu mencatat 4,500 dan 106 kematian di China, tempat wabak ini bermula.

Di Malaysia pula, empat kes positif wabak koronavirus dicatatkan yang kesemuanya merupakan kes import, manakala empat lagi kes disyaki dicatatkan yang turut melibatkan dua warga tempatan.


EmoticonEmoticon