30 Januari, 2020

Koronavirus: TLDM sahkan semua anggota di China selamat

Semua kakitangan dan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang ditugaskan bagi pemantauan projek pembinaan empat kapal misi pesisir (LMS) di Wuhan, China disahkan selamat tanpa sebarang kes jangkitan Koronavirus (2019-nCoV).

Menurut kenyataan Cawangan Komunikasi Strategik, Markas Tentera Laut, jumlah warga TLDM yang terlibat secara terus dengan projek ini adalah seramai 57 orang.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 42 orang telah pulang ke Malaysia susulan cuti perayaan Tahun Baharu Cina sejak 17 Jan lalu manakala baki 15 orang lagi masih berada di Qidong, Shanghai.

“TLDM sentiasa berhubung dengan warga dan memantau perkembangan terkini di China. Sehingga kini, tiada sebarang kes jangkitan Koronavirus (2019-nCoV) yang melibatkan warga TLDM,” petik kenyataan itu.

Wuhan adalah pusat di mana virus berkenaan dikatakan mula merebak dan setakat ini telah meragut 170 nyawa di China.

Justeru, sebagai langkah keselamatan, kata kenyataan itu, TLDM sedang menguruskan pergerakan pulang 15 anggota itu ke Malaysia dalam masa terdekat.

Pada 23 Mac 2017, kerajaan menandatangani kontrak perolehan empat LMS dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd melibatkan semua kapal itu dibina di Wuhan, China.

Bagi tujuan pemantauan projek pembinaan kapal di Wuhan itu, TLDM telah menubuhkan pasukan projek LMS TLDM sejak 8 Julai 2017 yang dianggotai seramai 12 orang terdiri daripada pegawai dan anggota lain-lain pangkat.

Di samping itu, TLDM juga telah menghantar 45 orang bakal warga kapal LMS Kedua sejak 5 Nov 19 ke Qidong, Shanghai bagi mengikuti latihan penyesuaian dan seterusnya membawa pulang kapal berkenaan ke Malaysia yang dijadualkan pada pertengahan April 2020.

“Pemantauan rapi sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa dan TLDM amat prihatin terhadap kebajikan warga khususnya dari segi aspek kesihatan.

“Diharapkan tiada sebarang penyebaran maklumat yang tidak sah atau palsu disalurkan berkenaan Koronaviruss yang melibatkan projek LMS sehingga boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat awam,” kata kenyataan itu.


EmoticonEmoticon