24 Januari, 2020

Pelari pecut muda positif doping digantung empat tahun - KOM

Seorang pelari pecut muda yang didapati positif doping pada Kejohanan Tertutup KOM 2019, dikenakan hukuman penggantungan selama empat tahun daripada menyertai sebarang aktiviti berkaitan olahraga.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), S. M. Muthu berkata keputusan itu diambil selepas mengadakan siasatan ke atas atlet itu dan selaras dengan peraturan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).

Beliau berkata Muhammad Syazrul Adli Saiful Adli, 17, pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor, didapati menggunakan barang terlarang menerusi suplemen yang didapati menerusi rakannya dari Pulau Pinang.

"Kami di KOM memandang serius isu doping dan sentiasa mengikuti peraturan WADA. Atlet itu diberikan tempoh selama 30 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menerusi KOM.

"Beliau berkata tidak mengetahui bahawa suplemen yang diambil selama dua tahun itu mempunyai bahan terlarang, tetapi kami tetap perlu memberikan hukuman ini kerana bahan itu dikesan pada badannya," katanya pada sidang media di Wisma OCM, Kuala Lumpur, hari ini.

Muhammad Syazrul yang berasal dari Pulau Pinang dan mewakili negeri itu dalam acara 100m lelaki pada Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018, telah menyertai acara 4x100m dalam Kejohanan Tertutup KOM pada Ogos lepas.

Beliau didapati menggunakan dua bahan terlarang iaitu methasterone dan oxymetholone - sejenis steroid androgenik anabolik pada ujian doping yang dijalankan oleh Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) ketika kejohanan itu.

Muthu berkata pihaknya yang turut menyiasat jurulatih Muhammad Syazrul di SSTMI, Mohd Poad Md Kassim, mendapati jurulatih pecut kebangsaan itu tidak bersalah.

"Kami menyiasat beliau kerana atlet itu berada di bawah pengawasan dan latihannya. Kami tidak mendapat bukti yang kukuh untuk menyalahkan beliau," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Anti-Doping KOM, Datuk R. Annamalai berkata pihaknya akan menganjurkan seminar untuk memberi pendedahan mengenai bahan terlarang dan penggunaan suplemen kepada kira-kira 150 atlet dan jurulatih olahraga dalam masa terdekat sebagai antara usaha membanteras masalah doping.

-Bernama


EmoticonEmoticon