30 Januari, 2020

Satu lagi sah positif koronavirus, menjadikan jumlah 8 kes di Malaysia

KUALA LUMPUR: Satu lagi kes positif 2019 novel koronavirus dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes yang disahkan di Malaysia meningkat kepada 8, setakat tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini berkata, kesemua 8 kes terdiri daripada warganegara China.

Beliau berkata, kes terbaru membabitkan seorang wanita berusia 49 tahun.

“Kes kelapan ini adalah warganegara China berusia 49 tahun yang dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Permai, Johor Bahru dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.

Noor Hisham juga berkata, 5 kes masih menunggu keputusan makmal.

Beliau berkata, bagi memantapkan lagi aktiviti pengesanan kes yang disyaki, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan mengenal pasti pelajar atau pensyarah yang pulang bercuti dari China.

“Mereka yang dikenal pasti akan diletakkan di bawah pemantauan di rumah dan diberikan Kad Amaran Kesihatan dan alat penilaian di rumah.

“Sekiranya mereka ini menunjukkan gejala, pelajar atau pensyarah ini akan dirujuk kepada fasiliti kesihatan yang dikenal pasti dengan segera,” katanya.

Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan juga bekerjasama rapat dengan beberapa kementerian lain bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang bekerja di Wuhan, China.

Semalam Duta Besar Malaysia ke China, Raja Nushirwan Zainal Abidin mengesahkan 82 rakyat Malaysia yang setakat ini dikenal pasti berada di Wuhan dan sekitarnya, bebas daripada jangkitan novel koronavirus.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada sidang media semalam berkata, Malaysia bersedia untuk membawa pulang rakyatnya yang kini berada di Wuhan jika dibenarkan oleh kerajaan China.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar akan memulakan rundingan secepat mungkin dengan kerajaan China bagi tujuan itu.


EmoticonEmoticon