24 Januari, 2020

Tukar PM bukan macam tukar driver bas - Hadi

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menegaskan pertukaran perdana menteri bukan perkara mudah seperti hendak menukar pemandu bas.

Beliau berkata perjanjian peralihan kuasa antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Anwar Ibrahim masih boleh dipertikai kerana tidak memenuhi tuntutan perjanjian dalam Islam.

"Tak boleh janji serah kuasa begitu saja, dalam Islam semua perjanjian perlu ikut rukun Islam, sebab kita orang Islam...kalau tak cukup syarat, tak cukup rukun janji, ia tak sah. Kena tengok janji tu cukup syarat ke tak?

"Kita tak boleh anggap tukar kepemimpinan negara macam tukar pemandu bas, kalau nak tukar pemandu bas pun, kalau nak pergi ke Kuala Lumpur kena pemandu yang nak bawa ke Kuala Lumpur juga.

"Kita nak pergi Kuala Lumpur tukar pemandu hendak ke Pulau Pinang... mana boleh, tak sampailah," katanya kepada media ketika ditemui di Rusila, Terengganu, hari ini.

Tambah Hadi lagi, dalam konteks jawatan perdana menteri ia bukan milik mutlak Mahathir yang boleh diserahkan begitu saja kepada Anwar.

"Dalam demokrasi (jawatan perdana menteri) milik rakyat, serah pada rakyat.

"Kalau rakyat tak percaya kena buat pilihan raya semula, kalau rakyat tak percaya tak boleh. Moralnya kena begitu," jelasnya lagi.

Isu peralihan kuasa antara Mahathir dan Anwar terus menjadi polemik yang mana sebahagian pemimpin Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP dan PKR mahu ia segera dilaksanakan.

Tekanan ke atas perdana menteri terus memuncak apabila PH tewas dalam beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) secara berturut-turut kepada BN.

Polemik itu menyaksikan pemimpin PH membabitkan Bersatu, DAP dan PKR saling bercakaran dalam isu berkenaan.

Bagaimanapun, Anwar pada dua hari lalu, meminta semua pihak dalam PH supaya tidak membicarakan soal peralihan kuasa secara terbuka dan menghormati konsensus yang disepakati pada Januari 2018.

Beliau juga kekal dengan pendiriannya sebelum ini dengan menyokong Mahathir dalam mengemudi dan memperkukuhkan ekonomi negara.

Dalam pada itu, Hadi berkata isu peralihan kuasa ataupun pertukaran perdana menteri tidak sepatutnya menjadi keutamaan kerajaan ketika ini.

Sebaliknya kerajaan perlu memberi tumpuan kepada janji-janji yang telah ditawarkan kepada rakyat dalam manifesto ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

"Sepatutnya utamakan manifesto... cuma malangnya PH ni janji banyak sangat, masing-masing parti ada janji dia. DAP dengan janji dia, PKR janji dia, semua ada janji.

"Jadi, kita fikirlah macam mana perdana menteri nak buat kalau banyak sangat janji, dia (perdana menteri) tak berjanji orang lain buat janji, tak kan dia nak pikul," katanya.


EmoticonEmoticon