25 Februari, 2020

5 presiden parti menghadap Agong hari ini

KUALA LUMPUR: Selepas Umno dan PAS mengadakan pertemuan tertutup semalam di PWTC, difahamkan satu mesyuarat presiden parti akan diadakan pagi ini sebelum mereka berangkat ke Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Menurut sumber dalaman, mesyuarat itu melibatkan 5 presiden parti iaitu Umno, PAS, PPBM, Warisan dan GPS di lokasi yang tidak dinyatakan.

Katanya, selepas mesyuarat tersebut, perjumpaan semua ahli Parlimen dengan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah akan dimulakan oleh GPS, diikuti PAS dan Umno pada jam 1 tengahari. Sementara GPS dan Warisan tidak dipanggil menghadap Agong.

Kemelut penubuhan kerajaan baru dijangka selesai hari ini selepas Agong berpuas hati mendengar pandangan daripada semua ahli Parlimen terlibat.

Difahamkan juga, kelima-lima presiden terbabit akan mengadakan sidang media bersama lewat petang ini.

Dalam pertemuan tertutup semalam, difahamkan ada beberapa ahli Parlimen Barisan Nasional yang tidak hadir, antaranya Khairy Jamaluddin dan Nazri Aziz.

Ketika ini kemelut penubuhan kerajaan baru masih menjadi tanda tanya apabila pelbagai spekulasi timbul mendakwa tidak bersetuju dengan beberapa cadangan.

Dr Mahathir Mohamad yang melepaskan jawatannya sebagai perdana menteri semalam, dilantik sebagai perdana menteri interim oleh Sultan Abdullah sehingga pelantikan perdana menteri dan kerajaan baru diputuskan.


EmoticonEmoticon