24 Februari, 2020

Anwar, Guan Eng ke rumah Mahathir selepas gagal temui di pejabat

10.49 pagi: Pusat Pembanterasan Rasuah dan Kronisme (C4) akan menyertai sidang media bersama Bersih pada petang ini.

Pengarah Eksekutif C4, Cynthia Gabriel, berkata sidang media itu akan diadakan sejurus selepas Presiden PKR, Anwar Ibrahim, bertemu Yang di-Pertuan Agong.

10.50 pagi: Difahamkan oleh sumber, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, tiada di pejabat ketika Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Lim Guan Eng tiba.

Difahamkan ketiga-tiga mereka kemudian bersama-sama menuju ke rumah Mahathir di Seri Kembangan.

10.25 pagi: Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng meninggalkan Perdana Putra. Kedua-dua mereka tidak memberhentikan kenderaan masing-masing untuk bercakap kepada media.

Hanya beberapa minit sebelum itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, juga dilihat meninggalkan bangunan menempatkan Pejabat Perdana Menteri itu.

Kenderaannya diperlahankan sedikit dan beliau melambai ke arah wartawan yang menunggu.

10.20 pagi: Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, dilaporkan tidak akan menghadiri sebarang majlis rasmi kementeriannya hari ini.

Hal itu disahkan seorang pembantunya.

Kata sumber tersebut, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hasnol Zam Zam Ahmad, akan mewakili Saifuddin.

10 pagi: Kira-kira dua jam sebelum mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP berlangsung, kelihatan salah seorang pemimpin kanan parti itu tiba di bangunan ibu pejabat parti terbabit di Pudu, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua, enggan memberi sekarang kenyataan.

"Saya tak tahu," katanya apabila ditanya media sama ada beliau hadir untuk menghadiri mesyuarat berkenaan atau sebaliknya.

Menurut setiausaha politik menteri kewangan itu, beliau datang untuk menyelesaikan "hal-hal lain".

Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi, dilihat tiba di situ kira-kira jam 9pagi.


EmoticonEmoticon