07 Februari, 2020

Bukan senang nak kena “rogol”

Pelakon remaja Bella Dowanna mendedahkan aktres Nabila Huda atau lebih mesra dipanggil Abil merupakan salah seorang idolanya dalam industri seni.

Justeru, Bella tidak rasa susah untuk bergandingan dengan Abil dalam filem M4M4 kerana sudah lama menyimpan hasrat itu.

"Tak susah untuk saya bergandingan dengan Abil sebab dia memang idola saya.

"Dah lama saya berharap dapat berlakon dengan dia. Ia umpama mimpi jadi realiti.

"Apa yang susahnya berlakon dalam filem ini adalah apabila saya terpaksa menjayakan watak sebagai Alya.

"Saya tak pernah rasa kena rogol dan orang lain pun tak nak rasa kena rogol sebab itu ia susah untuk saya," katanya kepada Gempak.

Bella ditemui ketika majlis tayangan filem M4M4 di Mm Cineplexes, e@Curve, Mutiara Damansara.

Dalam pada itu, pemilik nama Qystinna Istajibilla Dowanna ini akui berasa malu dan janggal melakonkan beberapa babak dalam filem M4M4.

"Masa awal-awal ditawarkan untuk berlakon filem ini saya tidak tahu ia mengenai kisah rogol. Selepas dah dapat skrip baharulah saya tahu ia filem yang tragis.

"Mula-mula saya sangat malu... Sebab semuanya 'real'. Mereka memang duduk atas saya tapi perasaan itu lebih kepada janggal, geli dan tak selesa.

"Takut jugalah kalau cikgu tengok... Takut dan malu sebab nanti mereka cakap apa pula.

"Tapi ibu bapa saya cakap buat sajalah, semua itu lakonan saja.

"Lagipun sampai bila saya nak tolak tawaran seperti ini? Jadi sebab itulah saya terima saja. Ia pengalaman buat saya," katanya lagi.

Selain Bella, filem M4M4 ini dibintangi barisan pelakon hebat lain antaranya Nabila Huda, Kodi Rasheed, Faizal Hussein, Eyra Hazali, Niezam Zaidi, Ungku Hariz, Izzy Reef dan ramai lagi.

Filem terbitan Da Motion Pictures ini akan ditayangkan mulai hari ini di 107 pawagam seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei.


EmoticonEmoticon