25 Februari, 2020

Kumpulan Azmin dedahkan tujuan sebenar, tolak alasan sebagai pengkhianat

KUALA LUMPUR: 11 pemimpin PKR yang mengumumkan keluar parti hari ini tampil membuat penjelasan dengan menolak tuduhan kononnya mereka pengkhianat susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Dalam satu kenyataan bersama yang diketuai Mohamed Azmin Ali , mereka sebaliknya berkata, tindakan yang diambil, yang turut melibatkan parti pembangkang seperti Umno dan PAS, bagi membentuk sebuah kerajaan baru adalah bagi “menyelamatkan” perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

“Kami menyangkal sekeras-kerasnya tuduhan pihak yang melabel kami sebagai pengkhianat.

“Sebaliknya mereka yang berusaha untuk menjatuhkan perdana menteri ditengah penggal adalah pengkhianat sebenarnya kerana mereka lebih mementingkan agenda mengambil kuasa perdana menteri daripada melaksanakan dasar kerajaan yang bertujuan memulihkan ekonomi serta meningkat kesejahteraan rakyat,” kata kenyataan itu.

Kumpulan itu mendakwa gerakan mengehadkan kuasa perdana menteri telah dilakukan sejak beberapa bulan lalu.

Menurut perjanjian yang dipersetujui pimpinan PH sebelum pilihan raya umum lepas, Mahathir akan menyerahkan kepimpinan kerajaan kepada presiden PKR Anwar Ibrahim pada satu tarikh yang tidak ditetapkan.

“Jumaat lalu kita menyaksikan usaha sebahagian pimpinan Pakatan Harapan untuk memaksa Mahathir menetapkan tarikh beliau melepaskan jawatan perdana menteri dan melakukan peralihan kuasa kepada Anwar.

“Usaha tersebut adalah kemuncak kempen mereka untuk mewarwarkan isu peralihan kuasa sebagai agenda utama PH.

“Kempen ini telah menghakis keyakinan rakyat dan masyarakat pelabur terhadap kewibawaan kerajaan.

“Kami yakin bahawa percubaan memaksa perdana menteri menentukan tarikh peralihan kuasa sebagai usaha jahat untuk menjadikan perdana menteri sebagai ‘lame duck PM’,” kata mereka.

“Peralihan kuasa ditengah-tengah penggal akan mengugat kesinambungan dasar dan persepsi rakyat terhadap kerajaan PH.

“Justeru kami mengambil langkah proaktif untuk mengagalkan konspirasi menjatuhkan perdana menteri ditengah-tengah penggal,” katanya.

11 pemimpin PKR itu selain Azmin ialah ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Mansor Othman ( Nibong Tebal), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).

Semalam Anwar melabel mereka sebagai pengkhianat.

Terdahulu, semua 11 ahli Parlimen itu mengadakan mesyuarat di sebuah hotel di Damansara di sini, dipercayai bagi membincangkan langkah seterusnya, termasuk kemungkinan menubuhkan parti baru.

Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi PPBM awal hari ini.

Beliau bagaimanapun dilantik sebagai perdana menteri interim oleh Yang di-Pertuan Agong sehingga pelantikan perdana menteri dan pembentukan kerajaan baru.


EmoticonEmoticon