04 Februari, 2020

Kumpulan hak asasi Mak Nyah selar Mujahid, bimbang keselamatan Sajat

PETALING JAYA: Sebuah kumpulan hak asasi transgender menyelar kenyataan dan gesaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa untuk menyiasat Nur Sajat, selepas usahawan itu bertelekung ketika menunaikan umrah di Mekah.

Justice for Sisters berkata, tindakan Mujahid itu hanya akan membawa risiko buruk kepada Sajat di negara yang menjadikan ekspresi transgender jenayah.

Katanya, ekspresi atau cara pemakaian transgender ialah satu bentuk jenayah di Arab Saudi dan golongan itu berdepan cabaran ketika berada di negara terbabit.

“Kebimbangan sebenar bukan telekung, tetapi keselamatannya, pelanggaran privasi, kekurangan hak dan respons berdasarkan bukti oleh kerajaan dalam perkara ini,” katanya dalam kenyataan.

Kontroversi timbul selepas Sajat yang berjaya dalam perniagaan menjual produk wanita, memuat naik video beliau bertelekung ketika menunaikan umrah di Mekah.

Pengguna media sosial marah dengan tindakan itu dan Mujahid pula mendakwa Sajat mencemarkan imej Islam serta hubungan baik Malaysia dengan Riyadh.

“Kita merasa kesal sebab dia (Sajat) menjejaskan imej Islam sebagai seorang yang dalam kad pengenalannya lelaki dan dia lelaki,” kata menteri itu semalam.

Justice for Sisters bagaimanapun memberi amaran, reaksi semberono Mujahid sudah menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan Sajat, termasuk ahli keluarga dan rakannya di Malaysia.

“Dalam keadaan ini, di mana terdapat dakwaan penangkapan dan tekanan awam ke arah agensi pelancongan, kerajaan perlu mengambil langkah memastikan keselamatannya di luar negara dan beliau selamat pulang ke Malaysia.”

Sajat dilaporkan berpakaian lelaki ketika menaiki pesawat, tetapi bertelekung selepas tiba di Mekah.


EmoticonEmoticon