06 Mac, 2020

Latheefa Koya letak jawatan?

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya dikatakan meletak jawatan, hari ini.

Sumber berkata, beliau sudah menghantar surat peletakan jawatan itu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Beliau bersama pegawainya ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya sekitar 10 pagi tadi untuk menyerahkan surat itu.

“Bagaimanapun, pengesahan sama ada peletakan jawatannya itu diterima atau sebaliknya tidak dapat dipastikan selain perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Latheefa dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa 1 Jun tahun lalu untuk tempoh dua tahun menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Sejak pelantikan itu, beliau membuka semula beberapa kes lama termasuk membabitkan orang kenamaan dan kepentingan awam.

Malah, beliau turut mengejutkan negara apabila membuat pendedahan sembilan klip rakaman audio mengandungi perbualan telefon antara individu berprofil tinggi.

Antara dikaitkan adalah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor serta bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Zulkifli Ahmad membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta skandal SRC International.

Malah, beliau turut hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini untuk memberi keterangan mengenai kes rakaman audio berkenaan.


EmoticonEmoticon